Followers

02 December 2010

Cuti ke Perth

Assalamualaikum. Baru berkesempatan untuk upload cerita di blog. Sepanjang cuti sekolah yg baru bermula, saya berkesempatan mengikuti suami ke Perth atas dasar kerja. Bertolak pada 28 Nov dan akan kembali ke Malaysia pada 3 Dis 2010. Sedang cerita ini ditulis, saya masih lagi di bumi Perth. Sepanjang tinggal di sini bagi saya yang pernah beberapa kali datang ke sini adalah sungguh membosankan kalau sekadar datang dan tidak melakukan apa-apa aktiviti. Jika kelapangan, saya akan berjalan-jalan sekitar bandar ataupun menghabiskan masa di pusat membeli belah. Barangan yg dijual hmmm..mahal dan tidak berbaloi melainkan anda seorang yang sgt kaya! Tapi saya tidak, sebab itu saya cuma bersiar-siar dan meluangkan masa bersama Yusra sementara suami sibuk dengan kerjanya.
Selain sibuk memikirkan aktiviti harian, perut juga perlu diberi keutamaan. Maklumlah saya ini seorang yang jenis kaki makan! Hehehe. Bila datang ke sini, saya dah sediakan segala senarai restoran/makanan dan minuman yang HALAL. Bab makanan memang tak perlu dirisaukan langsung sebab banyak restoran dari Malaysia/Indonesia yang halal seperti Insan Cafe, Karachi Restaurant, Takaza Restaurant, Mak's Place, Restoran Endah, Restoran Oleh-Oleh dan sebagainya [sekadar menyebut beberapa nama]. Kalau jemu dengan nasi, boleh cuba kebab dari restoran Turki, Pakistan dan sebagainya tapi hati-hati kerana tidak semua restoran dari Timur Tengah ini menyediakan makanan halal. Yang penting kita kena banyak dapatkan maklumat.
Lagi satu yang pelik tentang saya, bila datang sini tiba-tiba teringin nak makan makanan barat lah, makanan Jepun lah, makanan Cina lah. Haishhh..sedangkan kat Malaysia tak hairan pun! Ye lah kalau dah hari-hari lalu asyik terpandang Mc D, Pizza Hut, Hungry Jack, Red Rooster dan sebagainya mana tak terliur kan! Hahahaha.
Tapi yang pasti saat lidah inginkan sesuatu sebagai pencuci mulut rasanya tidak susah sebab di sini ada pelbagai jenis makanan sejuk beku dijual di pelbagai pasaraya seperti Woolworth dan Coles.




Seperti yang saya katakan di atas tadi, jika sesekali jemu, apa kata bertukar menu pula. Saya berkesempatan ke Harbour Town. Saya suka ke Harbour Town sebab saya dah tertarik untuk ke kedai Royal Doulton. Walaupun tak pernah sekali pun membeli apa-apa barang di situ, sekadar melihat barangan yg dijual di situ pun sudah membuat saya puas. Setelah puas berjalan-jalan, saya berehat untuk menikmati kebab di ISPA Kebabs. Makanan di sini sudah tentulah halal dan menyediakan pelbagai jenis kebab. Asyik juga sambil makan sambil melihat burung merpati berterbangan mencari makanan di sekitar kaki kita. Angin pula bertiup sepoi-sepoi bahasa dan cuaca pada hari itu sangat cantik dan tidak terlalu panas. Maklumlah sekarang kan musim panas dan suhu kadangkala mencecah sekitar 40 darjah! Seperti gambar di bawah, saya memesan nasi yang datang bersama kebab ayam, hirisan buah zaitun, jalapeno, cheese, cendawan dan couscous. Kenyang sungguh! Saya tak boleh tahan kalau tengok buah zaitun. Saya suka sangat makan buah zaitun. Sebab itu saya pesan extra olive! Umphhh!!




Gambar di bawah pula ialah sekotak buah ceri yang diberikan kepada kami semalam oleh kawan suami yang pernah saya ceritakan di entri terdahulu di mana beliau mempunyai ladang yang sgt luas. [Saya akan ceritakan di entri yang akan datang di mana saya berkesempatan melawat sendiri ke salah sebuah ladang beliau yang terletak di Kalamunda]. Di sini sekarang tengah musim buah mempelam, ceri, plum, anggur dan sebagainya. Mempelam di sini pula sungguh manis. Boleh sakit tekak kalau asyik makan dan makan saja. Hehehe. Tapi saya noticed yang sejak akhir-akhir ini saya kerap makan dan tak boleh tak makan. Lidah asyik rasa nak makan, makan, makan, makan!

03 November 2010

Apple Strudel & Jus Avocado

Salam buat kawan-kawan semua. Agak lama juga tidak kemaskini blog. Maklumlah sibuk dengan Facebook! Hehehehe. Semalam encik bos dah selamat sampai dari Perth. Yang paling teruja sekali ialah buah tangan yg dibawa bersamanya. Tak sabar rasanya. Awal-awal lagi sebelum berangkat saya dah maklumkan awal-awal supaya jangan sesekali lupa untuk belikan dessert tersohor di mukabumi Perth itu iaitu CORICA APPLE STRUDEL. Dan encik bos siap pesan lagi dengan kawannya Mr Bernard iaitu salah seorang rakan baiknya di Perth. Beliau adalah anak Malaysia tetapi bekerja dan bermastautin di Perth bersama isteri dan anak-anaknya. Lepas dah dapat buah tangan tersebut, saya tanpa berlengah lagi terus masukkan ke dalam peti sejuk. Ye lah, perjalanan Perth - KL mengambil masa lebih kurang 5 jam. Dari KLIA hendak sampai ke rumah pula 30 minit. Entah apa akan jadi pada teksturnya pun saya tak tahu. Sebab itu saya cepat-cepat masukkan ke dalam peti sejuk.

Selain buah tangan ini, ada juga yang dibawa bersamanya iaitu 2 kotak besar yang mengandungi buah-buahan segar yang dikutip terus dari ladang kepunyaan kawan baiknya iaitu Mr Tony. Menurut encik bos, ladang Mr Tony ini sangat luas. Pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran dan juga ternakan ada di situ. Penat kalau berjalan kaki tapi akan hilang penat tatkala menoleh kiri kanan kerana deretan pokok buah-buahan yang menggamit mata. Antara buah-buahan yang beliau bekalkan ialah avocado, pic, epal, stoberi, pear, mempelam, oren dan banyak lagi lah.
Jadi hari ini apabila bangun saja, lepas hantar Yusra ke sekolah, rasa tak sabar nak mencuba apple strudel dan Jus Avocado. Dengan lemak berkrimnya, dengan manisnya. Kira satu kombinasi yang baik bersarapan dengan sepotong apple strudel dan segelas jus avocado.



JUS AVOCADO
Bahan-bahan :-
1 bj buah avocado, dibelah 2 dan dibuang biji dan kulit
[keluarkan isi dgn menggunakan sudu]
2 sdb susu pekat
1 cawan air
sirap coklat
beberapa ketul ais
Cara-cara :-
  1. Ambil gelas yang ingin digunakan dan masukkan ke dalam peti sejuk bahagian dingin beku [freezer]. Biarkan seketika. Tuang sirap coklat mengelilingi gelas dan masukkan kembali ke dalam peti sejuk.
  2. Di dalam pengisar, masukkan buah avocado, susu dan air. Kisar sehingga sebati kesemuanya.
  3. Keluarkan gelas tadi dan tuang jus avocado tadi dan masukkan beberapa ketul ais. Sedia diminum.

07 October 2010

Pencuci Mulut - Buah Timun Betik

Bukan senang nak jumpa buah timun betik ni di KL. Kebetulan masa nak balik ke Penang masa bulan puasa yg lepas, singgah sekejap di R&R Bukit Merah menghala utara. Keluar saja dari kereta ada bau yg menyucuk-nyucuk hidung ni. Bau yang amat saya rindukan. Bau yang sungguh tak tertahan. Buah timun betik! Kalau yg sudah masak memang baunya sangat mengancam. Untuk tidak lepaskan peluang, saya pun apa lagi terus ke gerai yang menjual buah-buahan ini. Punyalah banyak sampai tak terpilih pula jadiknya. Cara nak pilih buah timun betik ini ialah dengan cara melihat pada struktur buah itu sendiri. Apabila buahnya sudah merekah-rekah tak hengat, itu tandanya dah boleh dimakan la tu. Saya beli 2 biji untuk dibawa balik ke Penang. Aduhhh..dalam kereta pun tak tertahan sudah. Nasib baik masa itu dah lepas berbuka puasa. Untuk sessi post mortem buah ini, saya serahkan kepada pakarnya iaitu ibu saya. Hehehe. Dia lah mengupas, dialah meracik, dia jugaklah yang masak santannya. Kami tolong tengok jer dan tolong makan. Hihihi
Ada pelbagai cara untuk makan buah timun betik ini. Tapi agak tak sesuai kalau dimakan begitu saja sebab tak ada rasa langsung. Buah ni tawar. Sebab tu amat sesuai dibuat sebagai hidangan pencuci mulut ataupun jus. Untuk pencuci mulut yg macam saya sediakan di bawah ini, senang sahaja. Dadu kecil buah timun betik ini, ketepikan. Masak santan bersama gula dan sedikit garam. Kemudian masukkan buah timun betik ini ke dalam santan dan juga seberapa byk ais ketul. Sgt sesuai dimakan sewaktu sejuk. Baru laju jer turun di tekak. Ekeke. Kalau terlebih rajin lagi, kisar terus buah timun betik ini dgn santan tadi. Jadikan seperti jus dan last but not least, ais kiub jgn lupa. Terpulang kpd citarasa masing-masing. Yang penting, hidangan ini sgt sedap!



06 October 2010

Sotong Miri's Style

Hari ini lepas hantar makanan kat Yusra di sekolah, singgah sekejap kedai nak beli barang basah. Tapi tak tahu plak nak masak apa tapi sotong dan dikeluarkan dari peti ais. Rasanya nk masak kari sotong dengan sayur pak choy masak lemak. Ermm..lama jugak tak makan sayur masak lemak ni. Dah beli terung dan sedikit buncis, terus ke rumah dan letak di dapur. Rasa malas mula menjengah. Jadi naik ke atas bilik sekejap, cadang nak rehat jer tapi bila dah dapat bantal, hmmmm terlena la pulak! Hihihi. Alih-alih bila tengok jam di dinding dah pukul 11 lebih. Aduhhh! Tak boleh jadi ni. Terus turun ke bawah masak nasi dahulu dan siapkan sayur. Tiba-tiba bila part nak masak sotong, otak jadi beku! Betul ke nak masak kari, ke nak masak lain?! Dah pulak!!! Jenuh belek balik resepi-resepi yang ada. Akhirnya, saya ambil resepi ringkas yang pernah dikongsi oleh rakan FnR. Resepi ini disumbangkan oleh Baiduri Othman. Nama resepi pun takde jadi saya bedal jer letak Sotong Miri's Style sebab Baiduri ni orang Miri. Lagi pulak, asal resepi ni datang dari satu clubhouse di Miri. Sesuai sgt lah tu. At last, simpan dalam peti ais lah segala terung dan buncis tadi. Hehehe
SOTONG MIRI'S STYLE

Bahan-bahan :-
400 gm sotong, dikerat
1 btg serai, diketuk
2 sdt serbuk kurma
1 sdt serbuk ketumbar
1 camca makan sos cili
2 camca makan sos tomato
sedikit garam dan gula

Bahan tumbuk/
4 biji cili merah
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2 inci halia

Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bahan tumbuk bersama serai. Tumis sehingga terbit minyak. Tambah air sedikit jika terlalu kering.
  2. Masukkan rempah kurma dan serbuk ketumbar. Kacau sehingga garing. Tambah air jika perlu. Masukkan sos tomato dan sos cili. Kacau-kacau selalu dan biar mendidih seketika dan masukkan sotong.
  3. Perasakan dgn garam dan gula. Didihkan sebentar kemudian bolehlah ditutup api. Jika suka kering, biar sehingga kuah agak kering sedikit baru dimasukkan sotong. Jika tidak, sotong akan kecut dan menjadi liat jika dimasukkan lebih awal.

04 October 2010

Mee Kari & Puding Karamel

Ahad kelmarin saya niat untuk masak lebih sikit sebab nak jamu keluarga dan rakan-rakan. Hari Sabtu sebelumnya saya ke pasar dan beli tulang rusuk untuk dibuat dalca dan 1/2 kg daging untuk dimasak Daging Masak Hitam. Selain itu, saya cadang nak buat Mee Kari juga. Dalca saya buat malam Sabtu tu supaya hari keesokannya baru terasa kedalcaannya tu. Betul tau! Hehehe
Pagi-pagi tu siapkan semua bahan dan terus masak sampai ke petang. Dalam kelam kabut tu sempat juga saya siapkan sebekas Puding Karamel. Alhamdulillah semua puashati dgn hasil air tangan saya. Penat pun hilang dan hidung pun kembang setaman! Hahaha




MEE KARI

Bahan-bahan :-

Kuah/
1 ekor ayam, dipotong kecil
1/2 kg udang, dibuang kulit
4 sdm rempah kari daging
1 peket kecil rempah kari udang & ikan kering
2-3 sdm cili boh
5 tangkai daun kari
1 1/2 kotak santan kotak
2 stok kiub pati ayam
2-3 keping asam keping/asam gelugor
*1 1/2 labu bawang putih
*8 ulas bawang merah
*halia, sebesar ibu jari
*4-5 batang serai
* Dikisar

Cara-cara :-
  1. Di dalam mangkuk, satukan rempah kari daging, rempah kari udang dan cili boh. Tuang air panas dan kacau sehingga tidak berketul utk dijadikan pes. Ketepikan.
  2. Di dalam periuk, panaskan minyak dan masukkan daun kari. Masukkan bahan kisar. Kacau sehingga kekuningan dan masukkan pes rempah tadi. Kacau sehingga rempah masak dan terbit minyak. Mesti dikacau selalu agar rempah tidak hangit.
  3. Masukkan ayam dan juga air. Biar sehingga ayam empuk dan tuang santan.
  4. Masukkan udang. Perasakan dgn garam dan masukkan asam keping dan stok kiub pati ayam. Kacau selalu.
  5. Perlahankan api dan biar sehingga kuah mendidih dan masukkan tauhu kering dan fishcake.
Nota :-
Ayam tu saya pilih beberapa bahagian isi dan dilumur garam dan serbuk kunyit lalu digoreng. Kemudian dicarikkan isinya untuk dijadikan rencah. Sebahagian lagi dibiarkan di dalam periuk. Mee Kari mahu tak mahu mesti ada kerang dan udang. Dan ada juga yg masukkan ketam. Boleh saja. Tapi sebab saya tak jumpa kerang jadi saya abaikan sahajalah dan lebihkan udang.
Untuk bahan rencah, boleh dipelbagaikan seperti menambah beberapa bahan yg biasa digunakan utk membuat yong tau foo tetapi harus dicelur dahulu. Selain itu, bahan biasa seperti telur rebus, cili potong, daun bawang dan daun sup yg dihiris dan tidak lupa bawang goreng.
Kalau tak cukup pedas, boleh saja buat sambal sendiri atau beli sahaja yg ready made. Ada dijual di Cosway dan juga pasaraya.

09 September 2010

Selamat Hari Raya

Selamat Hari Raya Aidilfitri!
Untuk kawan-kawan siber yang sering berkunjung ke blog saya dan teman-teman forum walau di mana jua anda berada. Semoga kita bergembira di hari raya yang mulia ini. Ampun maaf dipinta andai diri ada melakukan salah dan silap. Selamat Hari Raya!

Ila@Kacip_Fatimah

30 August 2010

Cupcakes & Cookies Deco Set

Another my new gadjets. Sebenarnya dah beli dari bulan lepas lagi tapi tak berkesempatan nak upload. Hari ini kebetulan ada lebih masa sedikit, itu yang terus masukkan ke entri. Saya tak pasti sama ada benda ni ada dijual di KL atau tak sebab saya tak pernah jumpa pula. Pertama kali bertentang mata, saya tertarik dah macam magnet pulak. Memang mata tak boleh lari asyik nak pandang saja benda alah ni. Dah belek satu persatu alatan di dalamnya itu yang saya rembat juga. Bukan apa, bila-bila ada masa nak buat cookies atau cupcakes, dah senang satu kerja. Malah, anak-anak pun dah boleh tumpang juga. Kan seronok kalau kita bersama anak-anak dapat meluangkan masa dari proses awal membancuh, membakar sehingga ke proses mendeko. Yusra kerapkali ajak buat tapi mama saja tak ada masa. Insya allah lepas raya jika selesai semua kerja yang tertangguh, bolehla mula baking semula dan panaskan oven yang dah lama sejuk! hehehehe




Yang di atas ini pula saja untuk menambahkan koleksi cookies cutter yang sedia ada. Mencari bentuk lain pula. Ada bentuk burung, kapal terbang, tapak kaki dan rama-rama. Comel bukan?

27 August 2010

Juadah Pasar Ramadhan

Kelmarin sempat ke Pasar Ramadhan Shah Alam di SS13. Seronok jugak sekali sekala menjamu mata melihat juadah yg dijual. Kuih muih pelbagai jenis, lauk pauk pelbagai versi dari negeri masing-masing. Paling banyak yg saya lihat masakan dari negeri pantai timur. Tidak lupa juga kuih raya, dodol dan juga baju. Dengan keasyikan itu tiba-tiba hujan mula turun. Apa lagi cepat-cepat beredar sebab terlupa nak bawa payung. Kalau tak, memang redah lagi lah jawabnya. Hehehe..




Dalam banyak-banyak juadah, kebab dan ayam madu paling sempoi. Memang sedap tak terkata! Kebab yang saya beli tu memang terasa rempah ratusnya. Tak perlu sos pun malah makan begitu saja pun dah cukup sedap. Begitu juga dengan ayam madu, rugi pula beli 1/2 ekor sebab Yusra suka sangat. Insya allah ada rezeki boleh beli lagi.

20 August 2010

Puding Laici

Masuk bulan Ramadhan ni, ini lah baru pertama kali ke dapur menyediakan juadah pencuci mulut. Itupun ntah angin apa yg tiup pun tak tahu lah. Hehehe. Pulak tu, cari resepi yang paling senang jer. Puding ni saya buatkan kelmarin tapi baru hari ini sempat masukkan ke entri. Macam biasa, resepi asal ialah dari Kak Liza kita lah tapi saya olah sedikit supaya puding ni jadi keras dan tak lembik. Dah banyak kali dah buat puding laici ni. Memang sedap kalau dimakan sejuk-sejuk.


PUDING LAICI
Bahan-bahan :-
25 gm agar-agar
5 cwn air
1 cwn gula
1 tin buah laici, asingkan buah dan jusnya
[sukat sebanyak 1 cwn jus]
1 tin susu cair
1 tin buah laici sebagai hiasan, optional
Cara-cara :-
  1. Agar-agar direndam bersama air lebih kurang 2-3 jam. Masak sehingga agar-agar hancur.
  2. Tapiskan agar-agar tadi dan masak semula kemudian masukkan gula. Masak sehingga gula hancur.
  3. Kisar kasar-kasar buah laici bersama dgn jusnya. Ketepikan.
  4. Tuang susu ke dalam periuk dan juga buah laici yang sudah dikisar tadi.
  5. Kacau perlahan-lahan sehingga mendidih dan bolehlah dituang ke dalam acuan kegemaran masing-masing. Biar sehingga puding keras dan bolehlah dihidangkan. Seeloknya di simpan di dalam peti sejuk. Apabila menghidang, boleh juga susun buah laici sebagai hiasan.

09 August 2010

Kitchen Warehouse

Salam semua, gambar-gambar di bawah ini ialah tempat di mana saya membeli barang-barang yg pernah saya paparkan pada entri yang lepas seperti cookies cutter dsb. Sebenarnya, saya begitu teruja sangat bila jejak kaki ke sini. Rasa macam nk duduk lama-lama sikit dan belek satu persatu barangan yang ada. Macam-macam ada sebenarnya yang kita tak biasa tengok di KL. Pelbagai jenis bentuk loyang, pelbagai corak cupcakes casing, pelbagai peralatan kecil yang memudahkan kerja di dapur dan banyak lagi lah. Saya berkesempatan mengambil gambar itupun dengan keizinan pihak kedai. Mereka memang baik hati sungguh dan tak kisah kalau saya nak ambil apa-apa gambar sekalipun. Tapi disebabkan saya datang pun dah hampir lewat, kedai pula dah nak tutup, maka saya snap gambar yang penting sahaja lah. Cuba lah kawan-kawan lihat, menarik bukan? [Klik pada gambar untuk saiz yang lebih besar]






05 August 2010

Mogok!

Hari ini seharian mengemas dapur yang penuh dengan tentera semut yang entah datang dari mana. Asyik keluar masuk je ntah apa yang dicari pun tak tahu lah. Jenuh la tudung makanan pun dia boleh masuk. Jangankan tudung, letak dalam microwave pun dia boleh tembus jugak. Penat! Penat! Jadi hari ini dah kebetulan my bos pun tak ada sebab balik Penang uruskan hal Yayasannya, tinggal lah berdua saja dengan Yusra.
Lega hari ni sebab dia pun dah habis ujian. Nak keluar rumah hari macam nak hujan sebab gelap je langit. Nak tak nak, terpaksa lah guna khidmat delivery service. Pilih je nak makan apa, call dan terus dihantar ke rumah. Untung kalau tinggal di KL ni, nak apa semua dapat. Syukur alhamdulillah. Jadi hari ni saya pilih nak makan Nandos. Lama jugak tak makan Nandos nih. Jadi inilah apa yang telah saya order. Sekejap je sampai. Ingatkan masa penghantaran lebih kurang sejam, rupanya tak sampai 40 min dah sampai. Leka sungguh dok mengadap facebook, tup-tup dah dengar orang tekan loceng. Hehehe..




04 August 2010

Udang Masam Manis

Disebabkan rempahku yang hangit semasa menumis untuk masak Udang Malbari, terpaksa lah buang rempah tu dan cari idea lain untuk masak udang. Nasib baik udang tak sempat dilebur sekali, kalau tak rugi..rugi!! Belek punya belek akhirnya saya dapat idea dari buku kak liza iaitu udang masam manis resepi dari buku Senangnya Memasak Bersama Chef Hanieliza. Memang senang dan cepat kerja. Bahan pun tak banyak. Yang penting sedap!

UDANG MASAM MANIS

Bahan-bahan :-

A/
5 ekor udang besar [udang harimau]
saya guna lebih kurang 1/2 kg udang biasa, disiang kulit dan biarkan ekornya
1 labu bawang besar, dihiris
1 bj tomato, dipotong 4
5 sdb sos cili
5 sdb sos tomato
1 sdk gula
1/2 cwn air
garam secukup rasa

B/ bagi menumis - dihiris
3 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 tangkai cili merah
1 tangkai cili hijau

Cara-cara :-

  1. Gaulkan garam dengan udang dan gorengkan [saya tambah serbuk kunyit juga]. Kemudian ketepikan.
  2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan tumis sehingga wangi.
  3. Masukkan udang, buah tomato, bawang besar, sos tomato, sos cili, gula dan air. Kemudian kacau rata. Tutup api dan hidangkan.

03 August 2010

Ikan Sambal Tomato

Entri ni dah pernah saya muatkan pada rumah satu lagi. Tapi saya tak pandai nak paste kan linknya jadi saya tuliskan sekali lagi resepinya di sini.

IKAN SAMBAL TOMATO

Bahan-bahan :-
beberapa ketul ikan jenahak, terpulang pd citarasa
apa-apa jenis ikan pun boleh

Dikisar/
5 bj cili merah [saya guna 7 biji]
2 sdb cili kering mesin [saya guna cili kering dlm segenggam]
7 bj bawang merah
7 bj bawang putih [saya guna 3 bj]
1/2 bj bawang besar [tambah sendiri]
1/2 sdb belacan [saya guna 1 sdt]

1 bj buah tomato
3-4 sdb sos tomato
2 bj bawang besar, dipotong gelang

Cara-cara :-
  1. Ikan ditabur dengan garam dan serbuk kunyit lalu digoreng. Ketepikan.
  2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
  3. Kisar buah tomato dan curahkan ke dalam kuali. Tumis lagi sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan sos tomato dan perasakan dgn garam dan gula. Tambah air jika terlalu pekat.
  5. Masukkan ikan dan bawang besar yang telah dipotong gelang. Kaup balikkan supaya mesra dan bolehlah ditutup api.

Cempedak Goreng

Semalam saya dpt sebiji buah cempedak yg agak besar jugak lah. Jadi hari ini masing-masing dah tak sabar nak makan cempedak goreng. Isinya memang besar gedabak tapi kurang manis sket kiranya sedang-sedang manis la. Mungkin durian kawin kot, agaknya lah. Jadi petang tadi dah siap dimasak cempedak goreng yg dihidang bersama seteko milo panas. Memang laju je makan bunyi kerangupan krup krap lagik sambil melayan Epilog Syurga Cinta. Hehehe

CEMPEDAK GORENG

Bahan-bahan adunan tepung :-
2 cwn tepung beras
1 cwn tepung gandum
1/2 sdb garam
1-2 sdb gula
3 sdb serbuk santan
1/2 sdt serbuk kunyit
1 sdt air kapur
2 cwn air [lebih kan sedikit]

Cara-cara :-
  1. Campur bahan-bahan kering terlebih dahulu. Kacau-kacau rata.
  2. Tuang air sedikit demi sedikit sehingga mendapat konsistensi adunan yg tepat. Sedang elok sahaja. Tidak cair dan tidak terlampau pekat. Kemudian masukkan air kapur dan kacau menggunakan whisker. Kacau sehingga tidak berbintil-bintil.
  3. Panaskan minyak yang agak banyak di dalam kuali.
  4. Ambil beberapa ulas cempedak dan masukkan ke dalam bancuhan supaya menyaluti keseluruhan cempedak itu tadi dan terus dijemput ke dlm kuali. Goreng terendam sehingga kekuningan dan toskan minyak. Ulang sehingga habis.

02 August 2010

Jalan-Jalan di I City

Hari Sabtu yang lepas, saya ada tetamu dari Port Dickson. Agak lewat juga kedatangan mereka sebab ada Hari Keluarga di sana. Jadi dah sampai tu saya terus bawa mereka ke Restoran Belanga yang terletak di Empire Subang yang pernah saya cerita tentang Nasi Tumpang tempoh hari. Agak ramai orang juga dengan tempat letak kereta pun penuh! Maklumlah, parking free!! Hehehe. Akhirnya penat kami pun berbaloi apabila sampai di hadapan restoran dan nasib baik ada tempat duduk kosong seramai 7 orang. Masing-masing order makanan masing-masing. Saya pun tak ketinggalan ler sebab lapar sgt. Jadi saya order nasi dagang berlaukkan ikan tongkol. Manakala tetamu saya ada yg order nasi goreng belacan, sup ekor, nasi kerabu dan keropok ikan. Masing-masing puas hati dengan hidangan mereka. Ok juga bagi saya sebab saya yang recommend kan! Hehehe..
Lebih kurang pukul 11 malam, masih lagi di Empire. Masing-masing masih cergas nampaknya. Minum tongkat ali kot? Hahaha..Saya bagi cadangan nak ke I City yang terletak di SS 7 Shah Alam. Elok benor la sebab masing-masing pun tak pernah pergi. Saya yang tinggal di Subang pun tak pernah sampai lagi ok! Ishhh..
Kami terus bertolak dan sampai lebih kurang 20 minit kemudian. Bila dah sampai selekoh tu, mata dah mula terpukau dek limpahan cahaya dari lampu-lampu digital yg tersusun indah sepanjang jalan menyusur masuk ke situ. Dgn bayaran sebanyak RM10, kami terus mencari tempat kosong utk parking. Huh! Sangat seksa sebab kereta banyak sgt! Mujur ada itupun nasib la jugak. Untuk ke pameran lampu-lampu digital ini, bagi anda yang menaiki lif dari bangunan tempat letak kereta, sila tekan G. Bukan 1, bukan 2 dan bukan 3 atau 3A. Saya masih tak lupa kisah beberapa keluarga yg pertama kali hendak ke situ tapi tak tahu nk berhenti di mana. Jadi lif yg mereka naik tu asyik naik turun naik turun sahaja. Bila pintu terbuka di hadapan kami, masing-masing tergelak sebab masih orang yg sama di dalam lif! Hahaha..
Setelah dah sampai di tingkat G, bolehlah berjalan-jalan di situ dan menikmati pemandangan lampu digital yg bagi saya amat menarik sekali. Boleh dijadikan tarikan utama pelancong utk datang ke Shah Alam. Kami bersiar-siar di situ dengan hujan renyai-renyai tapi masing-masing macam tak kisah pulak lagaknya mcm masing-masing tu kalis air pulak! Ada beberapa gerai yg menjual pelbagai barangan seperti kasut jenama Crocs, baju, tudung dan perhiasan. Tapi satu saja, tandas di bangunan itu tak ada air! Jadi pada sesiapa yg nak pergi tu, sila sediakan botol air mineral ya. Masih terlupa nak bawa kamera!!!!!!!! Uwaaaa!!









Related Posts with Thumbnails

YOURS SINCERELY