Followers

09 April 2012

AYAM MASAK HALIA & DAUN BAWANG

Salam semua,
Hari ini saya cuba satu resepi yang dikongsi oleh kakak sepupu saya yang resepi asalnya di ambil daripada sebuah rancangan 5 Rencah 5 Rasa. Resepi ini seakan-akan resepi Kung Pao Chicken. Bezanya cuma dalam resepi ni tak masuk kacang gajus je. Memang sedap jugak resepi ni.


AYAM MASAK HALIA & DAUN BAWANG
Sumber : Swahily Noordin
Sumber : 5 Rencah 5 Rasa

Bahan-bahan :-
1/2 ekor ayam, dipotong kecil
1 biji bawang besar, dipotong wedges
4 ulas bawang putih, dicincang
1.5" halia, dimayang nipis
6 tangkai cili kering, dikerat beberapa bahagian
1 tangkai daun bawang, dipotong selebar 5cm
1 biji cili benggala, didadukan
2 1/2 sdm sos tiram
2 sdm kicap pekat
1/2 sdm stok ayam
60 ml air
garam
gula
serbuk lada sulah
minyak masak

Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak dan tumiskan halia sehingga naik bau.
  2. Masukkan bawang besar, bawang putih dan cili kering. Kacau seketika sehingga bawang layu dan masukkan ayam. Biarkan seketika sehingga ayam bertukar warna keperang-perangan.
  3. Masukkan sos tiram, kicap, stok ayam, lada sulah dan gula. Kacau rata.
  4. Masukkan cili benggala dan biarkan seketika. Tuangkan air dan tutup kuali selama 2 minit.
  5. Akhir sekali, masukkan daun bawang dan kacau seketika sebelum di angkat.
  6. Hiaskan dengan hirisan daun bawang. Sedia untuk dihidangkan.
Nota :-
Saya tak masukkan air langsung begitu juga dgn garam kerana masin dari sos tiram dan kicap sudah memadai. Kakak sepupu saya goreng ayam terlebih dahulu tetapi saya masukkan sekali seperti tertulis dalam resepi. Anda juga boleh goreng ayam terlebih dahulu (salut dgn tepung jagung dan sedikit garam atau garam dan serbuk kunyit) terpulang kepada citarasa masing-masing. Cili benggala pun saya tak guna yg merah, yang hijau je saya ikut apa yang ada di rumah. Untuk stok ayam tu, saya takde yang jenis serbuk jadi saya gunakan 1/2 kiub pati ayam. Ok. Selamat mencuba!

06 April 2012

KEK PISANG KUKUS

Salam,
Kek pisang ini sebenarnya dah dibuat beberapa hari yang lalu. Sekarang baru teringat nak update. Sebenarnya pisang berangan yang saya beli tu tinggal 4 biji je lagi. Bila dah mula naik hitam legam kat kulit tu, semua pakat reject awal-awal. Kesian nasib pisang tu. Itu yang saya fikir lebih baik buat sesuatu daripada sedekah kat cik tong! Mulanya naik pening jugak la nak buat apa dengan pisang yang 4 biji tu. Nak dibuat cekodok, alahai sikit sangat nanti. Kalau nak buat muffin pula, nanti berpuluh-puluh biji pula jadiknya. Senang cerita buat kek pisang je. Resepi ni pun saya google dari internet dan olah sedikit ikut kesesuaiannya.


KEK PISANG KUKUS

Bahan-bahan :

A/Diayak
2 cwn tepung gandum
1 sdb susu tepung
1 sdk soda bikarbonat
1 sdk baking powder

1 1/2 cwn gula kastor (boleh kurangkan)
4 bj telur A
1 cwn pisang yang telah dilenyek + garam sedikit
1 sdk ovallette
esen pisang
1/2 cwn minyak masak

Cara-cara :
  1. Panaskan kukusan terlebih dahulu.
  2. Di dalam sebuah bekas, satukan telur, gula, esen pisang dan ovallette. Pukul adunan ini dgn kelajuan yang maksima dan sehingga kembang.
  3. Tuang bahan ayak perlahan-lahan dan sebatikan adunan.
  4. Masukkan pisang dan minyak masak, gaul adunan ini sehingga sebati.
  5. Griskan loyang 9" dan tuangkan adunan. Kukus sehingga masak.
Nota : Resepi ini saya bakar sebenarnya. Jika inginkan kelainan, boleh campurkan coklat urai, parutan coklat masak atau pun sebarang kekacang yang anda gemari ke dalam adunan. Selamat mencuba!

NASI TOMATO SURI

Salam Jumaat semua,
Hari ni terasa nak makan nasi tomato la pulak. Dah lama tak buat ni. Sesekali tukar selera apa salahnya, kebetulan bahan pun dah sedia ada di rumah, terus on kan projek je. Tapi lauk sampingan untuk nasi tomato ni tak banyak mana pun sekadar ayam masak merah dan acar mentah. Untuk acar timun tu, kalaulah ada plain yogurt, memang saya akan buat raita. Makan pula waktu sejuk-sejuk..hmmm mmg bertambah-tambah la kot tapi masalahnya tak ada..huhuhu..berangan je lah!



NASI TOMATO SURI

Bahan-bahan :-
4 cwn beras basmathi, dibasuh bersih dan ditoskan
4 cwn air
2 1/2 cwn tomato sup KIMBALL
2 sdb tomato puri
1/2 tin susu cair
1 bj buah tomato masak ranum, didadukan
3-4 tangkai daun pudina, cincang kasar
1 tin kacang peas saiz kecil (230gm), toskan airnya

Bahan Tumis/
2 ikat daun pandan, disimpul
1 btg kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 tangkai bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1/2 sdt jintan putih
1/2 sdt lada hitam
1/2 bj bawang besar, dihiris

Bahan kisar/
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
halia sebesar ibu jari

Hiasan/
beberapa tangkai daun pudina, ambil daunnya shj
segenggam bawang goreng
kismis, digoreng terlebih dahulu
kacang gajus, digoreng terlebih dahulu

Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak dan 2 sdb minyak sapi ke dalam periuk. Masukkan bahan tumis. Kacau seketika biar bawang kekuningan. Tuang bahan kisar dan kacau lagi sehingga terbit minyak dan naik bau.
  2. Masukkan tomato sup, tomato puri dan buah tomato. Kacau seketika dan tuang air dan masukkan juga daun pudina. Kacau seketika dan tudungkan periuk biar sehingga mendidih. Tuang susu dan perasakan dengan garam dan gula.
  3. Masukkan beras dan kacau sehingga sebati, masukkan kacang peas. Kecilkan api dan tudungkan periuk seketika sebelum dipindahkan ke periuk elektrik. Biar masak sepenuhnya. Jangan cepat-cepat gembur nasi, biarkan seketika terlebih dahulu.
  4. Buka penutup periuk dan tabur bahan hiasan. Tutup semula tudung periuk dan biarkan seketika barulah digembur itupun dengan garfu atau alat untuk menggembur nasi (sudip kayu yg berbentuk seperti garfu).
Nota : Cawan yg saya gunakan ialah cawan putih atau pot yang kita dapat semasa membeli periuk nasi tu. 

19 March 2012

PUDING KASTAD JAGUNG BERKRIM

Salam, entri kali ini pencuci mulut je. Malas nak update banyak-banyak. Yang paling cepat update dah tentu-tentu kat Facebook! Haha..Jom kita lihat resepi di bawah.



PUDING KASTAD JAGUNG BERKRIM
Sumber : Resepi Noraini

Bahan-Bahan :-
1 tin jagung krim
3/4 cwn tepung kastad
3/4 cwn gula
3 cwn santan
1 sdt esen vanila
sedikit garam

Cara-cara :-
  • Masukkan kesemua bahan-bahan di atas ke dalam periuk dan kacau dengan menggunakan whisker. Pada peringkat permulaan, api hendaklah dikuatkan atau dlm keadaan biasa dan apabila adunan kelihatan mula pekat, mula perlahankan api dan teruskan mengacau.
  • Adunan mesti dikacau sehingga kental, likat dan kelihatan agak berkilat.
  • Tutup api dan boleh dituang ke dalam acuan/loyang bersaiz 9". Sejukkan terlebih dahulu sebelum di potong.
Nota :-
Jika tidak gemar dengan tekstur kasar jagung, boleh juga dikisar terlebih dahulu jagung tersebut sebelum di masak.

23 February 2012

BROWNIES

Masih menggunakan resepi daripada Diana. Suka sangat dengan tekstur brownies ni. Insya allah jika ada resepi brownies yang sedap-sedap, saya akan cuba dan terus cuba dan akan saya kongsikan di sini.

 

BROWNIES
Sumber : Diana

Bahan-bahan :
125 gm mentega
200 gm coklat masakan
3 bj telur
1 3/4 cwn gula kastor
1 sdk esen vanila
1 1/2 cwn tepung gandum * diayak
1/3 cwn serbuk koko *
2 cwn kekacang, dicincang

Cara-cara :
  1. Panaskan oven terlebih dahulu. Griskan loyang 8X11". Lapik loyang dengan baking paper dan biar ada lebihan kertas sedikit supaya senang untuk dikeluarkan nanti.
  2. Cairkan mentega dan coklat dengan menggunakan kaedah double boil atau lebih senang menggunakan mikrowave sahaja. Masukkan gula kastor dan adun sebati.
  3. Masukkan telur satu persatu dan adun sehingga semuanya sebati. Tuang esen vanila dan kacau.
  4. Tuang tepung dan gaul sebati. Tambah kekacang. Adun lagi.
  5. Tuang adunan ini ke dalam bekas dan bakar sehingga masak.
Sejukkan terlebih dahulu sebelum dipotong. Jangan terlalu sejuk jika tidak brownies akan mengeras dan susah untuk dipotong. Agak-agak suam dah boleh dipotong dan ada juga straight away keluar dari oven dah terus dipotong. Ikut suka masing-masing. Yang nak makan pun kita jugak kan. Potong lagu mana pun ada orang kisah ke? Hehehe

16 February 2012

MAKARONI GORENG

Agak lama Yusra request makaroni goreng tapi baru sekarang mama rajin nak buat. Haha..
Ini entri yang lepas sebenarnya. Ila masak Makaroni Goreng ni atas permintaan Yusra. Dengar je makaroni goreng, yang Abah pun sama naik jugak! Yusra nak bawak ke sekolah katanya. Melambak-lambak sampai penuh bekas dia kaut. Kuat makan betul. Ingatkan bila balik sekolah, bekas pun kosong lah rupanya ada jugak bendasing yang di tolak tepinya. Apa lagi kalau tak cendawan dan capsicum! Susah betul la nak ajar anak dara sorang ni makan sayur.
Makaroni Goreng ni simple jugak. Iyelah buat awal-awal pagi dalam keadaan kelam kabut memang lah kena habis simple. Kalau nak berlenggang kangkung kat dapur potong bawang pun nak berseni bagai haruslah Yusra tak pergi sekolah! Hehehe

MAKARONI GORENG

Bahan-bahan :-
1/2 peket makaroni, direbus dan ditoskan
1 cwn ayam atau daging cincang (boleh dilebihkan jika suka)
1 bj lada benggala, dipotong dadu
1 bj bawang besar, dipotong dadu
3 ulas bawang putih, dihiris
1/2 cwn sayur campur jika suka
1-2 sdm cili kisar (boleh tambah jika suka pedas)
1 tin cendawan butang, toskan airnya dan dihiris
1/2 sdb serbuk lada hitam
garam secukup rasa

Bahan sos/
3 sdm sos cili
3 sdm sos tomato
1-2 sdm sos tiram
1-2 sdm kicap

Cara-cara :-
  1. Tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga layu (layu je bukan garing tau). Masukkan daging cincang dan sedikit air. Biar sehingga daging empuk dan masukkan cili kisar. Tambah air jika pekat. Kacau sehingga cili masak dan pecah minyak.
  2. Tuang sos. Tambah air lagi. Masukkan cendawan butang, capsicum dan sayur campur. Jangan dibiar terlalu lama kerana sayur akan layu (biar crunchy sikit).
  3. Masukkan makaroni dan gaul sebati. Masukkan garam dan serbuk lada hitam. Kacau makaroni seketika biar sebati dan bolehlah dihidangkan.
  4. Tabur hirisan cili merah, bawang goreng, daun sup/bawang jika suka.

15 February 2012

DALCA TULANG

Haa..lauk ni takde adik beradik atau sepupu sepapat yang nak di gengkan. Ila masak lauk ni je semata-mata. Takde nasi beriani ke atau apa-apa lauk yang special. Dah ini yang di request, ini je lah yang dapat. Hehe
Menu sebegini memang tidak asing lagi lah dalam blog Wonders Of Baking N Such. Kadang-kadang naik jemu jugak asyik kari je manjang. As long as masih ada permintaan. Layan gambar dulu lah insya allah ada masa Ila akan update resepi.

SOTONG MASAK ASAM

Assalamualaikum, entri ni sebenarnya dah lama cuma baru ada mood nak kemaskini blog. Lauk masak asam ni biasanya saya akan gunakan ikan seperti ikan kikik. Tapi mana nak cari ikan kikik kat pasar KL. Memang jarang nak jumpa. Jadi pilihan lain saya gunakan sotong. Sotong ni pun sebenarnya hampir pening dibuatnya memikirkan lauk apa yang nak dimasak. Lagi pulak kebetulan masa hari tu tak ada sesiapa kat rumah cuma Ila dan Yusra je. Dia pun takde lah cerewet sangat. Lauk apa yang mama masak dia makan je. Bertuah anak mama! Hehehe

Lauk sotong masak asam ni sangat mudah nak disediakan. Sangatlah sesuai untuk orang yang malas macam Ila ni haa! Mula-mula masukkan air ke dalam periuk dan didihkan. Kemudian, bawang merah 5 ulas, bawang putih 3 ulas dihiris. Ambil lebih kurang 4 btg cili kering, dibasuh bersih dan kerat 3 atau 4 bahagian. Sedikit belacan dan 1 btg serai diketuk. Bahan-bahan ini (bawang merah, bawang putih dan belacan disatukan ke dalam satu bekas dan diramas-ramas sedikit) kemudian bahan seperti serai pula terus di masukkan ke dalam periuk yang mendidih tadi bersama-sama bahan-bahan dalam mangkuk tadi (bawang dsb). Kemudian masukkan lebih kurang 2-3 keping asam keping dan biar mendidih seketika. Perasakan dengan garam. Apabila semua dah cukup mesra, baru masukkan sotong. Biarkan sekejap sahaja kerana sotong sangat tak sesuai di masak terlalu lama. Apabila mendidih sekejap terus matikan api. Siap.

PUDING ROTI KARAMEL

Assalamualaikum,
Dah lama menu pencuci mulut tak masuk senarai. Dah disenaraikan pun cuma tunggu giliran je. Yang ni pun entah bila tahun asyik KIV je. Alang-alang dah ada semangat balik, itu yang menggagahkan diri untuk buat jugak. Puding roti ni Ila buat sebab nak habiskan saki baki roti yang hampir expired. Sebelum ni asyik buat puding karamel biasa tu je cuma kali ni bahan utamanya ialah roti. Memang sedap jugak lah puding ni terasa lemak manisnya. Lebih cantik kalau guna acuan yang kecil comel. Macam Ila, guna acuan besar sikit jadi naik nya tak berapa tinggi. Terketot la pulak. Resepi ni tak pasti asal dari siapa tapi yang pasti resepi ni dah ada berselerak dalam blog rakan-rakan yang lain.


PUDING ROTI KARAMEL

Bahan-bahan :-
3 sdm gula
1 sdm air

3 bj telur saiz A
4 keping roti
1 cwn susu sejat IDEAL
1 cwn air suam
1/2 cwn susu pekat manis
1 sdt esen vanila
secubit garam

Cara-cara :-
  1. Panaskan kukusan terlebih dahulu. Pastikan permukaan tudung dilitupi dengan kain supaya air tidak menitik ke atas permukaan puding nanti.
  2. Masak gula sehingga menjadi karamel kemudian perlahan-lahan tuang air dan kacau sehingga semuanya sebati. Tuang ke dalam loyang dan ketepikan sebentar.
  3. Roti dicarik-carik kecil dan dikisar bersama susu pekat manis, susu sejat dan air suam. Kisar bahan-bahan ini sehingga halus.
  4. Telur dipecahkan ke dalam sebuah bekas dan pukul dengan menggunakan garfu. Tapis telur tadi dan tuang ke dalam adunan roti dan masukkan esen vanila dan garam. Kacau perlahan sehingga rata.
  5. Tuang adunan ini ke dalam loyang yang sedia ada tadi dan kukus dengan api perlahan sehingga masak.
  6. Keluarkan dan sejukkan terlebih dahului sebelum diterbalikkan. Simpan di dalam peti sejuk.

08 February 2012

Chili Crab / Ketam Bercili

Salam, agaknya dah berhabuk rumah saya ni sebab lama sungguh tak mengemas. Entah mengapa semangat nak berblogging tak muncul-muncul. Mungkin sebab setelah ketiadaan camera Canon 500D kesayangan saya jadi semangat pun dah mula luntur. Masak tu masak juga tapi tak serajin dulu. Ambil gambar pun guna kamera handphone je. Oklah, taknak berceloteh panjang, jom jenguk dapur saya pula tumpang mood nak update tu masih ada. Hehe..
Hari ini saya masak Ketam Bercili sebab sekian lama jugak saya tak masak menu macam ni. Rasa macam dah lupa pulak bila kali terakhir saya buat menu sebegini. Kalau tidak, asyik masak lemak tak pun kari saja. Geram juga tengok ketam-ketam ni sebab telur dia bukan main banyak lagi. Sabor je lah. Ketam ni my bos yang belikan. Katanya segar bugar lagi. Hampir 2kg jugak diangkutnya. Itupun saya tak masak semua, hanya separuh sahaja. Lagipun isi rumah tak ramai jadi kalau masak semua nanti membazir pulak.


KETAM BERCILI

Bahan-bahan :-
4 ekor ketam, dibelah dua dan dibersihkan
(ditabur dengan sedikit tepung gandum, garam dan serbuk kunyit. Goreng dan ketepikan)

Bahan kisar/
1 bj bawang besar
5 ulas bawang putih
3 biji cili merah
sedikit halia

Bahan Tumis/
2 helai daun kari
3 btg serai, diketuk
1 bj bawang besar, dihiris
1" halia, dimayang lebar

2-3 sdm cili boh/cili kisar
3-4 sdm sos tomato
2 sdm sos tiram
1 sdm kicap manis
garam
gula

1bj telur, dipukul dgn sedikit air

Cara-cara :-
  1. Cedok minyak lebihan goreng ketam tadi dan biar berbaki sedikit. Panaskan minyak semula dan masukkan bahan tumis. Kacau dan biar garing seketika dan masukkan bahan kisar berserta cili boh atau cili kisar. Kacau sehingga pecah minyak. [Penggunaan cili boh bergantung kepada individu. Jika sukakan pedas, boleh ditambah lagi]
  2. Tuang sos tomato dan sos tiram bersama sedikit air. Biar mendidih seketika. Masukkan garam, gula dan kicap. Masukkan ketam dan tudungkan kuali sebentar. Tambah air jika kuah kering atau pekat. Kacau-kacau seketika dan masukkan telur yang dipukul dan kacau lagi. Kaup balik ketam tadi supaya mesra dengan kuah. Boleh tabur hirisan bawang besar dan cili merah jika suka. Dan boleh juga ditabur hirisan daun bawang sebagai hiasan. Siap dan sedia dihidangkan. 
Related Posts with Thumbnails

YOURS SINCERELY