Kebetulan cuti raya cina dan cuti sekolah hanya berehat di rumah sahaja maka kenalah siapkan barang basah yang cukup untuk seisi rumah sepanjang cuti nanti. Hari ini memang tak larat sungguh sebab dengan senggugutnya, sakit badannya sakit pinggang dan macam-macam lagi lah. Biasanya dalam setiap bulan mesti mengalami masalah mcm nie. Tapi hari ni sebab tak bercadang nak kemana-mana, maka saya gagah juga masak sedikit di rumah. Nasi minyak, udang, daging dan acar. Rasanya cukup la kot. Acar beli lah, bukan buat punya. Hehehe..
NASI MINYAK
Bahan-bahan :-
3 pot beras basmathi
4 pot air
1 pot susu cair
2 1/2 sdm rempah kurma
1 btg serai, diketuk
1/2 ketul kiub pati ayam
1 helai daun pandan, disimpul
1 sdm minyak sapi+1 sdm mentega/marjerin + 2 sdm minyak masak
1/2 cwn bawang goreng
1/2 bj buah tomato, didadukan
* pot = alat menyukat beras
Bahan tumis/
1 btg kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
Bahan tumbuk/
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
halia, sebesar ibu jari
Cara-cara :-
1. Panaskan ketiga-tiga jenis minyak di dalam periuk nasi. Masukkan bahan tumis dan kacau seketika kemudian baru masukkan bahan tumbuk. Kacau sehingga bawang garing.
2. Rempah kurma dicampur sedikit dgn air lalu dituang ke dalam periuk. Masukkan serai dan daun pandan. Gaul rempah sehingga betul-betul pecah minyak.
3. Tuang susu cair dan air. Biarkan mendidih. Tuangkan beras. Masukkan garam dan sedikit gula dan juga kiub pati ayam. Biarkan mendidih dan masukkan bawang goreng dan buah tomato.
4. Alihkan periuk nasi ke tempatnya dan pasangkan suis. Biarkan nasi masak sepenuhnya dan biarkan seketika. Kemudian baru gembur nasi dengan menggunakan garfu kemudian bolehlah ditabur bahan-bahan sampingan.
5. Boleh juga menggunakan kismis, buah gajus dsb sebagai bahan sampingan. Goreng dengan sedikit minyak lalu dituang ke atas nasi. Tapis dahulu minyaknya. Kemudian bolehlah ditabur dgn daun pudina.
No comments:
Post a Comment