Followers

15 February 2012

DALCA TULANG

Haa..lauk ni takde adik beradik atau sepupu sepapat yang nak di gengkan. Ila masak lauk ni je semata-mata. Takde nasi beriani ke atau apa-apa lauk yang special. Dah ini yang di request, ini je lah yang dapat. Hehe
Menu sebegini memang tidak asing lagi lah dalam blog Wonders Of Baking N Such. Kadang-kadang naik jemu jugak asyik kari je manjang. As long as masih ada permintaan. Layan gambar dulu lah insya allah ada masa Ila akan update resepi.

SOTONG MASAK ASAM

Assalamualaikum, entri ni sebenarnya dah lama cuma baru ada mood nak kemaskini blog. Lauk masak asam ni biasanya saya akan gunakan ikan seperti ikan kikik. Tapi mana nak cari ikan kikik kat pasar KL. Memang jarang nak jumpa. Jadi pilihan lain saya gunakan sotong. Sotong ni pun sebenarnya hampir pening dibuatnya memikirkan lauk apa yang nak dimasak. Lagi pulak kebetulan masa hari tu tak ada sesiapa kat rumah cuma Ila dan Yusra je. Dia pun takde lah cerewet sangat. Lauk apa yang mama masak dia makan je. Bertuah anak mama! Hehehe

Lauk sotong masak asam ni sangat mudah nak disediakan. Sangatlah sesuai untuk orang yang malas macam Ila ni haa! Mula-mula masukkan air ke dalam periuk dan didihkan. Kemudian, bawang merah 5 ulas, bawang putih 3 ulas dihiris. Ambil lebih kurang 4 btg cili kering, dibasuh bersih dan kerat 3 atau 4 bahagian. Sedikit belacan dan 1 btg serai diketuk. Bahan-bahan ini (bawang merah, bawang putih dan belacan disatukan ke dalam satu bekas dan diramas-ramas sedikit) kemudian bahan seperti serai pula terus di masukkan ke dalam periuk yang mendidih tadi bersama-sama bahan-bahan dalam mangkuk tadi (bawang dsb). Kemudian masukkan lebih kurang 2-3 keping asam keping dan biar mendidih seketika. Perasakan dengan garam. Apabila semua dah cukup mesra, baru masukkan sotong. Biarkan sekejap sahaja kerana sotong sangat tak sesuai di masak terlalu lama. Apabila mendidih sekejap terus matikan api. Siap.

PUDING ROTI KARAMEL

Assalamualaikum,
Dah lama menu pencuci mulut tak masuk senarai. Dah disenaraikan pun cuma tunggu giliran je. Yang ni pun entah bila tahun asyik KIV je. Alang-alang dah ada semangat balik, itu yang menggagahkan diri untuk buat jugak. Puding roti ni Ila buat sebab nak habiskan saki baki roti yang hampir expired. Sebelum ni asyik buat puding karamel biasa tu je cuma kali ni bahan utamanya ialah roti. Memang sedap jugak lah puding ni terasa lemak manisnya. Lebih cantik kalau guna acuan yang kecil comel. Macam Ila, guna acuan besar sikit jadi naik nya tak berapa tinggi. Terketot la pulak. Resepi ni tak pasti asal dari siapa tapi yang pasti resepi ni dah ada berselerak dalam blog rakan-rakan yang lain.


PUDING ROTI KARAMEL

Bahan-bahan :-
3 sdm gula
1 sdm air

3 bj telur saiz A
4 keping roti
1 cwn susu sejat IDEAL
1 cwn air suam
1/2 cwn susu pekat manis
1 sdt esen vanila
secubit garam

Cara-cara :-
  1. Panaskan kukusan terlebih dahulu. Pastikan permukaan tudung dilitupi dengan kain supaya air tidak menitik ke atas permukaan puding nanti.
  2. Masak gula sehingga menjadi karamel kemudian perlahan-lahan tuang air dan kacau sehingga semuanya sebati. Tuang ke dalam loyang dan ketepikan sebentar.
  3. Roti dicarik-carik kecil dan dikisar bersama susu pekat manis, susu sejat dan air suam. Kisar bahan-bahan ini sehingga halus.
  4. Telur dipecahkan ke dalam sebuah bekas dan pukul dengan menggunakan garfu. Tapis telur tadi dan tuang ke dalam adunan roti dan masukkan esen vanila dan garam. Kacau perlahan sehingga rata.
  5. Tuang adunan ini ke dalam loyang yang sedia ada tadi dan kukus dengan api perlahan sehingga masak.
  6. Keluarkan dan sejukkan terlebih dahului sebelum diterbalikkan. Simpan di dalam peti sejuk.

08 February 2012

Chili Crab / Ketam Bercili

Salam, agaknya dah berhabuk rumah saya ni sebab lama sungguh tak mengemas. Entah mengapa semangat nak berblogging tak muncul-muncul. Mungkin sebab setelah ketiadaan camera Canon 500D kesayangan saya jadi semangat pun dah mula luntur. Masak tu masak juga tapi tak serajin dulu. Ambil gambar pun guna kamera handphone je. Oklah, taknak berceloteh panjang, jom jenguk dapur saya pula tumpang mood nak update tu masih ada. Hehe..
Hari ini saya masak Ketam Bercili sebab sekian lama jugak saya tak masak menu macam ni. Rasa macam dah lupa pulak bila kali terakhir saya buat menu sebegini. Kalau tidak, asyik masak lemak tak pun kari saja. Geram juga tengok ketam-ketam ni sebab telur dia bukan main banyak lagi. Sabor je lah. Ketam ni my bos yang belikan. Katanya segar bugar lagi. Hampir 2kg jugak diangkutnya. Itupun saya tak masak semua, hanya separuh sahaja. Lagipun isi rumah tak ramai jadi kalau masak semua nanti membazir pulak.


KETAM BERCILI

Bahan-bahan :-
4 ekor ketam, dibelah dua dan dibersihkan
(ditabur dengan sedikit tepung gandum, garam dan serbuk kunyit. Goreng dan ketepikan)

Bahan kisar/
1 bj bawang besar
5 ulas bawang putih
3 biji cili merah
sedikit halia

Bahan Tumis/
2 helai daun kari
3 btg serai, diketuk
1 bj bawang besar, dihiris
1" halia, dimayang lebar

2-3 sdm cili boh/cili kisar
3-4 sdm sos tomato
2 sdm sos tiram
1 sdm kicap manis
garam
gula

1bj telur, dipukul dgn sedikit air

Cara-cara :-
  1. Cedok minyak lebihan goreng ketam tadi dan biar berbaki sedikit. Panaskan minyak semula dan masukkan bahan tumis. Kacau dan biar garing seketika dan masukkan bahan kisar berserta cili boh atau cili kisar. Kacau sehingga pecah minyak. [Penggunaan cili boh bergantung kepada individu. Jika sukakan pedas, boleh ditambah lagi]
  2. Tuang sos tomato dan sos tiram bersama sedikit air. Biar mendidih seketika. Masukkan garam, gula dan kicap. Masukkan ketam dan tudungkan kuali sebentar. Tambah air jika kuah kering atau pekat. Kacau-kacau seketika dan masukkan telur yang dipukul dan kacau lagi. Kaup balik ketam tadi supaya mesra dengan kuah. Boleh tabur hirisan bawang besar dan cili merah jika suka. Dan boleh juga ditabur hirisan daun bawang sebagai hiasan. Siap dan sedia dihidangkan. 

25 October 2011


Puding Roti Marble ini dah banyak kali saya buat dengan pelbagai patern ikut suka hati jer dan biasanya guna kaedah marble lah sebab senang. Tapi kali ini sebab nak cuba acuan yang terperuk tak diguna dan dah hampir jadi tukun tu jadi tak boleh la jadi bentuk marble sebabnya ada lubang plak kat tengah-tengah acuan tu jadi kena lah jadikan corak tempek-tempek! Tempek pun tempek lah janji puding! Jangan tempek-tempek ke lain pulak jadinya sudahhhh..hehe. Resepi ni asal dari hana. [Terima kasih ye sebab sudi kongsi resepi sedap ni]. Dah ramai kawan-kawan yang mencuba dan memang terbukti sedap. Tak caya cuba ler..

PUDING ROTI MARBLE

Bahan-bahan :-
  • 4 keping roti
  • 2 biji telur
  • 1/2 cawan susu pekat
  • 170 ml susu cair
  • 8 gram serbuk agar-agar
  • 1/2 cawan gula - bleh kurangkn
  • 2 sudu besar butter/marjerin, dicairkan
  • 3 1/2 cawan air
  • 2 sudu besar serbuk koko [boleh ganti dengan choc emulco]

Cara-cara :-
  1. Didihkan 3 cwn air, serbuk agar-agar dan gula ke dalam periuk.
  2. Kisar roti, telur, susu pekat, susu cair dan baki air tadi (1/2 cwn). Kemudian masukkan dalam periuk agar-agar yang sudah mendidih tadi.
  3. Masukkan butter/marjerin dan kacau rata sampai mendidih. Matikan api.
  4. Bahagi kepada 2 bekas. Satu adunan biarkan warna asal dan satu adunan masukkan serbuk koko atau choc emulco. Kacau cepat-cepat.
  5. Tuang ke dalam loyang secara berselang seli. Sesenduk adunan asal kemudian sesenduk lagi adunan coklat. Ulang hingga habis. Ketika melapis atau memarblekan, hendaklah dengan cepat sebab puding/agar-agar  ni mudah sejuk dan membeku.
  6. Dah siap bolehlah di simpan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya sejam. Enak dimakan ketika sejuk.

20 September 2011


Ini antara lauk pauk yang saya masak semalam. Ada juga kari kepala ikan tapi sebab banyak sangat entri kari sebelum ni jadi untuk kali ini saya abaikan aje dulu. Sambal tumis udang petai tu sangat simple resepinya. Bawang merah, bawang putih dikisar kemudian ditumis dengan cili boh sehingga masak atau pecah minyak. Kemudian tuang jus asam jawa. Perasakan dengan garam dan gula. Campak 2 biji bawang besar yang dihiris bulat kemudian diikuti udang dan akhir sekali baru petai. Sangat cepat! Yang lambatnya sebab nk mengopek buah petai dari 6 papan.
Sayur campur pula kebiasaannya saya suka menggunakan cendawan tiram. Tapi kali ni saya teringin nak cuba cendawan shitake. Pada pendapat saya, sedap lagi cendawan shitake ni. Tapi kalau nak campur ke dua-dua jenis cendawan pun tentu bertambah sedap apatah lagi kalau campur segala jenis cendawan..umphhh..mesti lagi sedap!! Maklumlah saya penggemar cendawan. Sayur campur ni pun senang jugak. Ketuk bawang putih dlm 5 ulas kemudian tumis sedikit dgn sebatang cili merah dan bawang merah. Biar agak kekuningan masukkan lobak dan sedikit air. Tuang sos tiram. Bila setengah empuk, masukkan jagung. Sayur-sayuran ni dimasukkan biar mengikut tahap. Yang keras didahulukan, yang lembut dikemudiankan. Hahaha. Tapi saya tak suka sayur lembik! Saya tak tunggu lama kalau nk masak sayur sebab saya suka sayur jenis crunchy. Perasakan dgn garam dan lada hitam kisar. Tutup api dan baru masukkan lada benggala. Itu style saya. Hehehe..

Back To Normal

Salam,
Sejak entri yang yang lepas, saya sedikit busy dengan persiapan menyambut raya. Seminggu berkampung di Kepala Batas rumah keluarga dan selepas itu harus pulang cepat kerana pada hari Isnin 5hb Sept 2011 suami terpaksa ke UKM Specialist Centre untuk menjalani pembedahan tiroid dan saluran pernafasan. Jadi hari raya untuk tahun 2011 sangatlah tidak best! Huhuhu..
Apa pun syukur alhamdulillah ke hadrat Illahi kerana masih panjangkan usia suami kerana pembedahan berjaya walaupun masa yang dijangkakan agak tersasar. Terima kasih kepada Prof. Dr. Rohaizak Muhammad. Selama seminggu jugaklah saya terpaksa jadikan wad hospital sebagai hotel! Maklumlah nak ulang alik dari Subang Jaya ke Cheras sangatlah jauh. Apa pun saya sangat berterima kasih kerana anak-anak suami rajin datang menziarah dan selalu bertanya tentang makan minum saya. Jika saya perlukan apa-apa, mereka lah yang selalu membantu dan menghulurkan bantuan tak kira lah dari segi wang ringgit mahupun tenaga.
Selepas dah pulih dari operation, suami minta discharge awal. Boring katanya nak tinggal lama-lama di dalam wad. Mahu atau tidak terpaksa lah doktor benarkan. Dengan kantung darah sebelah kiri dan kanan tu jugaklah terpaksa di usung walau di mana jua suami berada. Walau di dalam tandas sekalipun! Sedih jugak tgk keadaan dia yg tak berapa selesa tapi demi memikirkan kesihatannya, redah jugak lah. Sehinggalah tiub dah dibuka, barulah lega dan boleh nampak senyuman terukir di bibirnya. Apa pun masih dalam keadaan pantang dan masih lagi kena pantau takut-takut dijangkiti kuman pula. Ramai juga rakan dan taulan yang datang menziarah. Terima kasih kami sekeluarga ucapkan.
Kalau nak diikutkan, raya tahun ni mmg tak pergi ke mana-mana pun. Rasa sedih juga sebenarnya sebab tak dapat beraya macam orang lain tapi seronok juga sebab saya duduk di rumah memasak dan jemput kaum keluarga datang. Kuih raya pun banyak juga dah habis dan ganti pula dengan kuih raya yang orang bagi. Tahun ni kuih raya agak laku berbanding tahun sudah. Hehehe.
Oklah, tak nak berceloteh panjang lebar. Tunggu je entri yang terbaru sebab dapur dah mula berasap kembali. Hehehehe.

16 August 2011

AGAR-AGAR PANDAN BERSANTAN


Juadah yang saya sempat buat untuk berbuka tadi. Dah lama jugak tak buat agar-agar pandan ni. Makin lama skill makin kureng plak..hahaha. Jika berminat untuk mencuba, resepi seperti di bawah.

AGAR-AGAR PANDAN BERSANTAN

Bahan-bahan :-
20 gm agar-agar strips, direndam seketika
4 1/2 cwn air
1 1/3 cwn gula [boleh kurangkan jika tdk suka manis]
2 cwn jus pandan dari 5 helai daun pandan
1/2 cwn santan pekat
1/2 sdt garam
2 bj telur B
setitik dua pewarna hijau jika suka

Cara-cara :-
  1. Rebus agar-agar bersama air sehingga agar-agar tadi hancur. Masukkan gula dan masak lagi sehingga larut. Tapis ke dalam periuk lain dan didihkan semula.
  2. Dalam bekas atau mangkuk lain, pukul telur dan garam sehingga kembang. Tuang jus pandan dan santan dan pukul lagi.
  3. Setelah agar-agar mendidih, tuang adunan yang dipukul tadi ke dalam periuk agar-agar dan kacau sehingga mendidih. Angkat.
  4. Tuang ke dalam loyang dan sejukkan sebelum dipotong.

13 August 2011

KARI AYAM


KARI AYAM

Bahan-bahan :
1 ekor ayam, dibersihkan dan dipotong kecil
4 sdm rempah kari daging BABA'S
2-3 sdm cili kisar
1/2 santan kotak
3-4 biji ubi kentang, dibelah 4 setiap satu
1 kiub pati ayam MAGGI
1 keping asam keping
garam secukup rasa
air secukupnya
minyak untuk menumis

1 bj bawang besar, dibelah 6
1 bj buah tomato, dibelah 4
1 bj cili hijau, dibelah dua

Dihiris/
7-10 bj bawang merah
5 ulas bawang putih
1.5" halia

Bahan tumis/
1 btg kulit kayu manis
3-4 biji bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2-3 tangkai daun kari, dilurut daunnya
1 ikat daun pandan, disimpul

Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak yang agak banyak di dalam periuk. Selalunya saya akan tuang minyak sehingga menutupi permukaan periuk. Ini bertujuan memudahkan kita untuk menumis rempah nanti.
  2. Di dalam mangkuk, rempah daging dan cili kisar disatukan kemudian bancuh dengan air panas kemudian kacau sehingga bersatu. Air tu lebihkan pun takpa tak jadi masalah.
  3. Setelah minyak panas, masukkan bahan tumis beserta daun kari. Kacau seketika. Kemudian masukkan bahan hiris tadi. Mestilah dikacau selalu sehingga bawang garing. [Garing betul yea mcm nak buat bawang goreng tu].
  4. Tuang bancuhan rempah tadi dan masukkan daun pandan. Tudungkan periuk dan biar sehingga rempah pecah minyak dan masak. Kena selalu kacau rempah dan pastikan rempah betul-betul masak dan pecah minyak. Untuk menumis rempah, ianya akan mengambil masa sedikit.
  5. Setelah rempah masak, masukkan ubi kentang dan air. Biar sehingga kentang setengah empuk dan masukkan ayam dan kiub pati ayam MAGGI. Perasakan dengan garam. Biar mendidih seketika kemudian masukkan asam keping, santan, air dan bawang besar. Didihkan dengan api yg perlahan dan biar ayam masak sepenuhnya.
  6. Setelah ayam masak, tutup api dan masukkan buah tomato dan cili hijau. Siap!

12 August 2011

UDANG 3 RASA

Hari ini untuk menu berbuka saya dah sediakan kari ayam. Selain itu ada jugak udang yang dah lama terperuk dalam peti ais. Asyik terlupa sungguh nak beli petai kalau tak dah boleh hidang sambal tumis udang petai. Nyumm nyummm lama tak berpetai-petai segala nie! Keluarkan udang dan siapkan segala bahan maka jadi lah menu kedua iaitu UDANG 3 RASA.


UDANG 3 RASA

Bahan-bahan:
1 kilo udang, dibuang kepala
2 sdm cili kisar
3 bj bawang merah, dihiris
5 biji bawang putih, diketuk
1" halia, dimayang halus
1 btg serai, diketuk atau dimayang halus
Garam dan gula secukup rasa

2 bj bawang besar, dipotong bulat
1-2 biji lada benggala, didadukan atau potong memanjang
1 biji buah tomato, dipotong baji

Bahan sos/
1/3 cwn sos cili
2 sdm sos tomato
1 sdm sos tiram
2 sdm kicap pekat

Cara-cara :
  1. Udang diletakkan sedikit serbuk kunyit dan garam kemudian digoreng seketika. Angkat dan toskan.
  2. Kaup sedikit minyak dan tinggal sedikit untuk menumis sahaja.
  3. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia. Kacau sehingga kekuningan. Kemudian masukkan cili kisar dan serai dan tumis lagi sehingga pecah minyak. Tambah sedikit air jika cili agak kering.
  4. Tuang campuran sos tadi dan tambah sedikit air. Biarkan mendidih seketika. Perasakan dengan garam dan gula.
  5. Masukkan udang, bawang besar, lada benggala dan buah tomato. Kacau sehingga semua bahan mesra dan sebati dgn udang. Apabila sudah mendidih, bolehlah ditutup api dan sedia untuk dihidangkan.

Panjangnyaaaaaaaaaaaaaaaa!!


Ini cili merah yang saya beli di pasar kelmarin. Tidak lah ganjil mana pun cuma terkujat tengok saiz cili yang panjangggggg daripada cili biasa. Saya tanya akak yang jual tu apa beza cili panjang tu dengan cili biasa? Katanya cili yang panjang ni pedas lebih sket. Ye ke?! Tapi semalam saya buat masak tumis taugeh dengan tauhu rasa mcm biasa je pun! Hehehe. Mungkin baka yang digunakan itu baik kot berbanding benih biasa. Tapi guna cili ni untung lah kot sebab kalau nak guna 2 biji cili merah biasa, guna 1 biji je cili yang panjang ni. Alaa..lupa plak nak tanya harga..kot-kot la harga pun beza..huhuhu.

11 August 2011

Khasiat Taugeh


Tahukah anda, taugeh yang kerap kali menjadi pilihan terakhir untuk dijadikan sayur, sebenarnya mempunyai banyak khasiat. Taugeh dikatakan mampu menyumbang kepada kesuburan lelaki dan wanita. Pengambilan taugeh oleh kaum lelaki mampu membuatkan sperma yang dihasilkan oleh golongan ini makin baik. Begitu juga wanita, ia cukup berkesan membantu kesuburan telur yang dihasilkan.

Bagaimanapun, khasiat taugeh tidak sekadar penyumbang kesuburan, ia juga terbukti melalui kajian mengandungi bahan yang dapat melumpuhkan bibit kanser, usus besar, pankreas dan juga penyakit leukimia.

Mengikut kajian yang dijalankan taugeh sama ada dari jenis kacang hijau, alfalfa dan sebagainya mengandungi banyak unsur fitokimia yang berkhasiat. Salah satunya ialah kanavanin (canavanine), sejenis asid yang amino. Kanavanin, dikatakan mampu melumpuhkan bibit kanser leukimia, usus besar dan pankreas.

Selain itu, taugeh juga mempunyai estrogen semulajadi berfungsi sama dengan estrogen sintesis. Estrogen dalam taugeh dapat meningkatkan kepadatan dan susunan tulang, serta mencegah kerapuhan tulang (osteoporosis). Pengambilan taugeh oleh wanita secara kerap dapat membantu mereka menghindar mereka dari kanser payudara, gangguan menjelang menstruasi, simptom pra-menopaus, dan gangguan akibat menopaus.

Sewaktu kacang-kacang dicambahkan untuk dijadikan taugeh secara umum kadar saponinya meningkat sehingga 450 peratus. Mereka yang berisiko penyakit strok dan serangan jantung, gara-gara kadar lemak darah yang tinggi dianjurkan lebih banyak mengambil taugeh dalam menu harian mereka. Saponi dalam taugeh, menghalau “lemak jahat” LDL, tanpa mengganggu kandungan lemak baik HDL.

Selain sarat DNA, taugeh padat dengan antioksida kuat yang menghalang tubuh dari radikal bebas perosak sel DNA. Pelindungan ini menguatkan kesimpulan taugeh merupakan sayuran yang membuat anda menjadi lebih muda. Satu lagi khasiat taugeh yang tidak kurang hebat adalah membantu membuang kotoran dalam usus besar kerana mengandungi banyak serat dan air. Inilah yang menjadi tunjang utama taugeh dalam memerangi sel kanser.

Apabila kotoran segera meniggalkan usus besar, tiada lagi zat-zat racun dalam kotoran yang yang dapat diserap tubuh. Ia akan mencegah pengumpulan bahan beracun yang dapat merangsang berseminya benih kanser. Selepas membaca kebaikan sayur taugeh janganlah ragu-ragu lagi untuk mengambilnya. Jadi apalagi, mari kita ramai-ramai makan taugeh hari-hari.

Sumber : HPA

Ketam Masak Lemak Cili Padi

Semenjak puasa bermula 1hb Ogos, hari ini baru ada rasa rajin nak ke pasar! Hehehehe. Dulu kalau lepas hantar Yusra ke sekolah, laju je pecut kereta pergi ke pasar tapi semenjak puasa ni rasa sangat lah MALAS! Bukan malas apa, asyik teringat bantal je! Hihihihi. Bangun se awal pukul 4 untuk siapkan menu sahur kemudian siapkan si Yusra nak ke sekolah sebab tu lah asyik nak balik rumah je bila lepas hantar dia ke sekolah. Dah masuk petang baru kelam kabut nak siapkan juadah nan hado sebab stok dah takde jadi lah menu nan hado jer. Kebetulan ke pasar tadi habis diborong jugak lah untuk stok beberapa hari nanti. Nampak ketam tak banyak sangat tapi ikut hati macam nakkkkk sangat. Mahey la ketam sekarang sekilo ada ler dekat RM23! Saya ambil 3 ekor je tak sampai RM20 rasanya. Bila balik rasa sikit la pulak. Ermmm kejap lagi kena siapkan juadah extra la. Extra semalam tu ada lagi saya masak Kari Ikan. Ok kot? Tinggal goreng sayur je. Masalah betul kalau dah terlebih rajin ni..kalau boleh semua nak masak sekali harung! Hahaha.

KETAM MASAK LEMAK CILI PADI

Bahan-bahan :-
ketam, dibersihkan dan dibelah dua
3 batang serai, diketuk [serai saya haluihhhhh]
2 keping asam keping
5 biji buah belimbing buluh, dibelah dua
1 kotak santan M&S [tak guna semua, boleh agak sendiri]
1/2 biji buah nenas, dipotong ikut citarasa sendiri
sedikit minyak utk menumis
garam secukup rasa
2 helai daun kunyit, dikerat-kerat

Tumbuk/
17 biji cili padi [saya guna cili padi kampung] BERASAP ok!
2 biji cili merah
1.5" kunyit hidup
sedikit belacan
3 biji buah keras
7 biji bawang merah
1 biji bawang putih

Cara-cara :-
  1. Di dalam lesung, tumbuk cili padi dan kunyit hidup terlebih dahulu kemudian masukkan cili merah dan tumbuk halus. Kemudian baru dimasukkan bahan yg selebihnya dan tumbuk sehingga lumat.
  2. Panaskan minyak di dalam periuk dan tumis bahan tumbuk tadi. Kacau seketika dan masukkan serai. Tambah sedikit air di dalam bekas lesung batu dan masukkan air tadi ke dalam periuk. Biar mendidih seketika sambil dikacau-kacau.
  3. Masukkan nenas. Tambah sedikit air dan biar sehingga nenas lembut.
  4. Santan kotak dicampur dgn air dan kemudian tuang ke dalam periuk. Didihkan seketika dan masukkan asam keping dan belimbing buluh. Perasakan dgn garam.
  5. Apabila kuah telah mendidih, masukkan ketam. Didihkan sebentar sehingga ketam masak dan masukkan daun kunyit. Biarkan seketika dan bolehlah ditutup api.

28 July 2011

Ayam Masak Kicap Berasap

Pagi tadi dah keluarkan ayam tapi masih tak tahu nak masak apa. Sempat pula ke K4 dan terlupa betul dengan ayam yang dah dikeluarkan tadi tu. Aduhh! Balik dari K4 terus cepat-cepat basuh dengan tepung. Masih tak tahu nak masak apa alih-alih masak yang simple sudah lah sebab kepala pun dah naik pening asyik fikir menu je hari-hari. Maka jadilah Ayam Masak Kicap Berasap.


AYAM MASAK KICAP BERASAP

Bahan-bahan :-
1 ekor ayam, dibersihkan dan dipotong kecil
3 btg serai, diketuk
1 sdm sos tiram
kicap pekat secukupnya
1/2 kiub pati ayam MAGGI
2 helai daun kari
2 biji ubi kentang, potong wedges
9 biji cili padi, diketuk
sedikit halia muda, diracik
1 keping asam keping

2 bj cili hijau, dipotong serong lebar-lebar
1 biji buah tomato, belah 6
2 bj bawang besar, potong bulat

A/
1 btg kulit kayu manis
3-4 bunga lawang
3 biji buah pelaga

Dikisar/
5 bj bawang merah
3 ulas bawang putih
3 cm halia
1.5 cm kunyit hidup
1-2 sdm cili kisar


Cara-cara :-
  1. Ayam ditabur dengan serbuk kunyit, garam dan sedikit serbuk rempah kari daging. Goreng ayam setengah masak, ketepikan. Goreng ubi kentang, ketepikan.
  2. Kaup minyak yang berlebihan dan tinggal minyak untuk menumis sahaja. Panaskan minyak semula dan masukkan bahan A diikuti daun kari dan serai. Goreng seketika dan masukkan bahan kisar. Tambah sedikit air dan masak sehingga pecah minyak.
  3. Tuang sos tiram dan kacau seketika kemudian tuang kicap pekat. [Kicap bergantung kepada citarasa masing-masing. Saya tak ada sukatan sebabnya saya cuma percik ke dalam kuali sehingga dapat warna dan rasa yang sesuai]. Masukkan asam keping dan halia muda yg telah diracik atau dihiris halus-halus. Masukkan cili padi, ubi kentang dan ayam. Biar mendidih seketika sambil kaup balikkan ayam.
  4. Masukkan buah tomato dan kacau lagi seketika dan barulah dimasukkan bawang besar dan cili hijau. Jika kurang rasa bolehlah ditambah garam dan gula secukup rasa. [Saya tak masukkan garam mahupun gula kerana saya adjust rasa hanya melalui kicap sahaja]. Masakan ini saya biarkan ianya berkuah dan ianya terpulang, jika anda suka kering, didihkan sampai kering baru dimasukkan bawang besar dan cili hijau tadi.

27 July 2011

Sayur Betik & Bayam Masak Asam




Syukur alhamdulillah hari ini dapat lagi stok sotong jadi hari ni bolehlah digulaikan. Selain gulai sotong, saya sempat juga masak sambal tumis kegemaran Yusra dengan ikan bawal yang saya beli semalam. Menjilat jari dibuatnya. Katanya setahun lebih tak makan sambal tumis mama masak! Ye lah tuu..!! :)
Manakala sayur pulak saya masak betik dan bayam masak asam. Ala-ala kampung la sket. Kuah kena lebih sebab nanti boleh buat stok nak hirup..slurppp! Ok, resepi boleh rujuk kat bawah.

SAYUR BETIK & BAYAM MASAK ASAM

Bahan-bahan :-
1 bj betik muda
1 ikat bayam
5 ulas bawang merah, dihiris
3 ulas bawang putih, dihiris
2 cm belacan
4-5 btg cili kering, dikerat 3 bahagian
2-3 keping asam keping, basuh bersih
2 btg serai, diketuk
air secukupnya
garam

Cara-cara :-
  1. Di dalam bekas kecil satukan bawang merah, bawang putih dan belacan. Picit-picitkan atau ramas bahan-bahan ini sehingga mesra.
  2. Di dalam periuk, masukkan air, buah betik, serai dan didihkan seketika. Masukkan bahan bawang tadi, cili kering dan asam keping. Perasakan dgn garam.
  3. Biarkan sehingga betik masak dan lembut baru di masukkan sayur bayam. Kacau seketika sahaja dan terus di tutup api supaya bayam tidak layu.
Related Posts with Thumbnails

YOURS SINCERELY