Followers

01 August 2010

Jalan & Makan

Hari Jumaat lepas sepatutnya nak balik Penang. Kata my bos lepas sembahyang jumaat. Tunggu punya tunggu dia pun pulang lewat. Dah agak lewat makanya tak jadi la nak balik. Dapur pun tak berasap la kaedahnya dah asyik menunggu sampai ke petang. Jadi petang tu saya keluar dgn Yusra sahaja lah ke Subang Parade untuk makan tengah hari tapi tak berapa nak tengah hari dah pun. Sebenarnya dah masuk petang. Dengan hujan yang renyai-renyai tu pulak memang la tak tunggu lagi sebab perut pun dah berkeroncong.
Bila dah sampai, dua beranak ni tak tahu nk makan kat mana. Dah pulak?! Fikir punya fikir, masing-masing tak mau makan nasik, jadi kami ke COCA Restaurant saja dan pesan bihun goreng sorang sepinggan. Sejak pekena bihun goreng kat COCA cawangan 1 Utama, terus jatuh chenta! Hahaha..tapi yg ini walaupun sama restoran, tak sama tukang masaknya. Jadi saya pilih yang di 1 Utama lagi sedap! Jadi haritu selain bihun goreng, yusra order pemanis mulut iaitu red ruby. Tak padan dengan dok batuk tuu. Saya pulak order jus buah durian belanda atau soursop ja. Sedap tapi manis giler!
Lepas dah makan, dah kenyang kami nk cuci mata pulak. Tapi taknak di Subang Parade, kami nk ke Empire. Lagi-lagi Empire! Tak bosan plak tuh! Hahaha..Syok apa jalan kat Empire. Ada Toys Ur Us katanya..saya pulak syok sebab ada The Loaf! Jadi boleh la beli Uhu Uhu derang tu yg sedap giler! Giler lagik..Hahahaha
Tapi satu benda yang saya ralat, terlupa nak bawak kamera!! Kena lah tangkap dgn kamera handphone yang tak canggih! Uwaaaaa...

Inilah Uhu-Uhu The Loaf yang saya cakap sedap giler tuh! Shud try ok!

28 July 2010

Nasi Kacang Dhall & Daging Masak Hitam

Hari ini my bos pulang dari overseas. 2-3 hari sebelum nak balik Malaysia, dia siap berpesan supaya jangan lupa buatkan nasi kacang dhall, teringin katanya. Jadi saya siapkan nasi kacang ni bersama regunya iaitu daging masak hitam dan ayam masak merah. Masak merah lagik! Hehe.. tapi kali ini saya gunakan seekor ayam terus. Boleh simpan lauk tu lagi 2-3 hari pulak. Hahahaha...
Nasi Kacang ni popular di sebelah utara. Dan lauk yg paling common ialah sambal. Mudah didapati sebenarnya sebab peniaga menjualnya seperti nasi lemak bungkus biasa pada waktu pagi sebagai sarapan. Nasi Kacang Dhall ni seperti nasi lemak juga cuma ditambah pewarna dan kacang dhall itu sendiri. Cuma sekali sekala bertukar selera, apa salahnya. Hehehe


NASI KACANG DHALL

Bahan-bahan :-
4 pot beras, basuh bersih, bilas dan toskan
4 pot air
1 kotak santan
1 cwn kacang dhall, direndam semalaman dan ditoskan
2 sdk serbuk kunyit
2 sdk garam [atau mengikut citarasa sendiri]

Bahan tumis/
1 btg kulit kayu manis
3 biji bunga lawang
3 biji bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 btg serai, diketuk
2 helai daun pandan, disimpul
4 ulas bawang merah, dihiris
4 ulas bawang putih, dihiris
2" halia, diketuk
minyak masak + 1 sdb planta

Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak dan planta ke dalam periuk nasi dan tuang bahan tumis. Kacau selalu supaya bawang tidak hangit. Agak kekuningan sahaja.
  2. Tuangkan beras dan gaul seketika. Masukkan kacang dhall dan kacau lagi.
  3. Satukan santan dan air di dlm sebuah mangkuk dan tuang ke dalam periuk nasi. Kacau-kacau dan biarkan mendidih sekejap, masukkan serbuk kunyit dan garam.
  4. Biarkan mendidih seketika kemudian pindahkan periuk elektrik ke tempatnya dan on kan suis supaya nasi masak sepenuhnya.

Apabila telah naik butang warm, biarkan seketika beberapa minit dan baru digembur dgn menggunakan garfu. Tabur dgn daun pudina jika suka.

DAGING MASAK HITAM

Bahan-bahan :-

Diperap/
500 gm daging batang pinang, dipotong kecil
5 sdm kicap lemak manis
4 sdm kicap lemak masin
1 sdm serbuk jintan manis
1/2 sdm serbuk jintan putih

Bahan tumis/
2 btg serai, diketuk
3 helai daun kari
2 helai daun pandan, dikerat 4 bahagian
4 ulas bawang merah, dihiris
1 btg kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 biji bunga cengkih
3 biji bunga lawang

Bahan kisar/
15-20 bj cili kering, direndam terlebih dahulu sebelum dikisar
1 bj bawang besar
4 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
2" halia

Bahan lain/
5 sdm jus asam jawa
2 bj bawang besar dipotong gelang, utk hiasan
garam jika perlu

Cara-cara :-
  1. Perap daging selama lebih kurang 1 jam.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bahan tumis. Kacau sehingga bawang kekuningan.
  3. Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga terbit minyak.
  4. Masukkan daging yg telah diperap tadi dan juga air. Biar sehingga daging empuk.
  5. Apabila daging empuk, tuang jus asam jawa dan kacau-kacau sebentar.
  6. Masukkan bawang besar yg telah dipotong gelang. Balik-balikkan seketika sehingga mendidih dan bolehlah ditutup api. Sedia dihidangkan.

Nota :- Daging ini saya buat berkuah sikit. Jadi air tu saya lebihkan.

26 July 2010

Nasi Tumpang

Semalam cuti hari minggu jadi saya ambil peluang berjalan-jalan dengan Yusra di sekitar Subang Jaya. Kebetulan waktu tengah hari jadi kami sepakat nak singgah di Empire Subang yang terletak berhampiran dengan Subang Parade. Di Empire ini terdapat pelbagai restoran yang menyajikan pelbagai jenis makanan dan masakan. Tidak terkecuali juga makanan dan masakan tempatan. Saya tertarik untuk mencuba di sebuah restoran yang dinamakan Restoran Belanga yang menyajikan juadah dari negeri pantai timur iaitu Kelantan.
Kelantan begitu sinonim dengan nasi kerabu, nasi dagang, ayam percik, laksam dan sebagainya. Tak lupa juga pencuci mulut yang sangat enak seperti lompat tikam. Tapi yang begitu menarik perhatian saya ialah NASI TUMPANG. Pertama kali saya melihat dan merasa nasi tumpang ni. Bagi saya ianya seakan-akan nasi himpit. Cara menyediakannya juga amat berbeza kerana ianya berlapis-lapis dengan nasi dan lauk kemudian dibalut seperti kon. Kenyang juga walau dengan sebungkus nasi. Tapi disebabkan masih tak puas, saya bungkus 2 nasi tumpang untuk dibawa balik.
Sesiapa yang ingin merasa nasi tumpang dan pelbagai lagi juadah dari Kelantan, boleh pergi ke Restoran Belanga, Empire Subang. Bagi saya makanannya sedap dengan harga yang berpatutan selain persekitaran yang bersih dan selesa.


Ayam Masak Merah

Pening kepala dibuatnya memikirkan menu apa yang nak dimasak harini. Belek macam-macam resepi dah tapi satu pun tak berkenan. Nak senang punya pasal, saya masak ayam masak merah saja. AYAM MASAK MERAH

Bahan-bahan :-
1/2 ekor ayam, dipotong kecil
1/2 bj bawang besar, dimayang halus
1 bj buah tomato, dipotong baji nipis-nipis
1 btg serai, diketuk
2 sdm sos tomato
2 sdm sos cili Thai
segenggam daun pudina
garam dan gula

Bahan tumis :-
1 btg kulit kayu manis
2 bunga lawang
2 bunga cengkih
2 buah pelaga

Bahan kisar :-
10 bj cili kering
4 bj cili merah
4 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
2" halia

Cara-cara :-
  1. Ayam dilumur dengan garam dan serbuk kunyit lalu digoreng setengah masak. Angkat dan ketepikan.
  2. Ceduk keluar lebihan minyak dan tinggalkan sedikit untuk menumis. Panaskan minyak dan masukkan bawang besar, rempah tumis dan juga serai. Kacau sehingga bawang kekuningan.
  3. Tuang bahan kisar dan masukkan buah tomato. Kacau sehingga pecah minyak.
  4. Tuang sos dan air. Biarkan mendidih dan masukkan ayam. Perasakan dengan garam dan gula. Boleh juga jika ingin masukkan bawang besar yang dihiris gelang.
  5. Perlahankan api dan biar ayam masak sepenuhnya. Apabila sudah masak, tutup api dan tabur daun pudina. Siap.

15 July 2010

Gulai Ikan Kering & Sotong Goreng Kunyit

Semalam masak ini sahaja untuk di santap iaitu Gulai Ikan Kering dan Sotong Goreng Kunyit versi berkuah. Sotong ni alahai, jenuh fikir nak masak apa. Last, goreng kunyit sajalah cuma saya buat berkuah sebab Yusra suka hirup kuah sotong ni. Lucu semalam tgk dia makan nasi dengan lauk sotong ni. Dia sumbatkan nasi ke dalam sotong, tuang kuah sikit dan gigit sotong tu. Hehehe. Tak kisahlah macam mana pun, as long as dia makan nasi tu. Habis jugak nasi dalam pinggan tu. Abah dengan mama dia pulun gulai ikan masin la sebab dah lama juga tak masak gulai. Cari tulang ikan talang tak ada pula, yang ada semuanya kurau. Kurau pun sedap juga cuma sedikit mahal berbanding talang. Saya suka pilih bahagian tulang temulang, bahagian kepala. Jika besar, minta dipotong menjadi bahagian kecil.


GULAI IKAN KERING
.
Bahan-bahan :-
Ikan masin kurau/talang, bahagian tulang, kepala dsb
2 peket rempah ikan kering
1 btg lobak merah, dipotong serong dan tebal-tebal
1 btg ubi keledek putih, dipotong tebal
1 bj terung, dibelah 4
segenggam kacang buncis, dipotong 3 bahagian
santan dari sebiji kelapa
1 mangkuk jus asam jawa [agak-agak sendiri]
air secukupnya

Bahan tumis :-
5 ulas bawang merah, dihiris
3 ulas bawang putih, dihiris
1/2 sdb halba campur
3 tangkai daun kari
Cara-cara :-
  1. Di dalam bekas, rendam ikan masin di dalam air bergaram. Setelah itu, bersihkan ikan dgn buang sisik dan kotoran. Ketepikan.
  2. Di dalam periuk, masukkan rempah ikan kering ke dalam periuk dan tuang air [air tu jgn byk sgt, agak-agak tenggelam rempah tu atau lebihkan sedikit pada paras rempah]. Didihkan rempah.
  3. Masukkan ubi keledek dan lobak merah. Biarkan setengah empuk kemudian masukkan terung.
  4. Apabila dah mendidih, tuang santan dan sedikit air. Biarkan mendidih dan masukkan ikan masin. Biarkan sebentar dan kemudian tuang jus asam jawa. Didihkan sekejap dan masukkan kacang buncis. Biarkan mendidih dan tutup api.
  5. Di dalam kuali kecil, panaskan minyak [lebih kurang 2-3 senduk nasi] dan kemudian masukkan bahan tumis. Kacau-kacau selalu supaya bawang kekuningan dan bertukar menjadi garing dan cepat-cepat tuang ke dalam periuk gulai tadi. Gaul rata-rata dan tudungkan periuk. Siap utk dihidangkan.

Nota : Terlupa nak masukkan nenas. Kalau ada nenas, boleh masukkan sekali selepas rempah dah mendidih. Bila dah setengah lembut, baru masukkan lobak merah dan ubi keledek.

13 July 2010

Ayam Masak Lemak Padang

AYAM MASAK LEMAK PADANG
Sumber : Rozzan
.
Bahan-bahan :-
1 ekor ayam [saya potong kecil]
4 biji bawang merah, dihiris
minyak utk menumis
garam dan gula secukup rasa
8 helai daun limau, dikoyak-koyak
santan dari 1 bj kelapa
jus dari 1-2 biji buah limau nipis/kasturi

Bahan kisar :
2 1/2 sdb ketumbar biji
8 tangkai cili merah
8 tangkai cili kering [saya guna 9 tangkai]
1" halia
1/2 " kunyit hidup
3 bj buah keras [tak letak sbb tak ada]
1" lengkuas
1 btg serai [saya letak 3 btg sbb serai saya kecik]
15 bj bawang merah [saya guna 13 shj sbb bwg saya besar-besar]
6 bj bawang putih


Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak dan tumis bawang hiris sehingga garing.
  2. Tuangkan bahan kisar dan tumis sehingga terbit minyak. Masukkan daun limau purut.
  3. Kacau selalu dan masak sehingga rempah garing.
  4. Tuang 1/2 cwn air dan tumis sampai pecah minyak.
  5. Ulang langkah no 4.
  6. Tuang santan dan juga tambahkan air. Perasakan dengan garam dan gula. Masukkan ayam dan jus limau. Biarkan sehingga ayam masak sambil dibalik-balikkan.
  7. Setelah mendidih dan ayam masak, bolehlah ditutup api dan sedia dihidangkan.

Nota : Semasa saya bercuti ke sebuah tempat baru-baru ini, saya suka makan sejenis masakan yang mereka namakan Chili Chicken. Memang sedap. Kalau nak diikutkan, lauk itu adalah masak lemak padang dan ianya sedikit pedas. Jadi kami sekeluarga kerap singgah dan menjamu selera di situ kerana cukup asyik menikmati makanan di situ. Apabila dah pulang, saya rasa rindu pula dgn masakan tersebut. Apa lagi, saya mencari dalam internet dan terjumpa resepi masak lemak ini di blog rozzan. Saya mencubanya dan alhamdulillah, rasanya lebih kurang sama dengan apa yg pernah kami makan. Suka sgt! Terima kasih kepada penyumbang resepi ini.

04 July 2010

My New Cutess Kitchen Gadjet!

Hatiku berbunga kegirangan sebab barang-barang kecik yg daku impikan akhirnya dapat juga. Syukur sangat, walau beribu batu terpaksa ku rentasi gitu..hahaha. Mungkin saya orang terakhir kot yang ada barang-barang macam ni, mungkin kawan-kawan lain dari awal dah ada. Tak apa, biar lambat asal ada jugak..Wakaka. Sebenarnya tak puas nak belek barang-barang yang ada di kedai, sebab semuanya kalau boleh nak angkut. Bukan saja canggih, tapi cantik dan memudahkan kerja.

silicon muffin tray - love
silicon muffin tray - rose
muffin/cupcake tray - triangle
cookies cutter - fish, teapot and finger
lemon zester
egg breaker [utk senang kupas kulit telur]
citrus reamer
chopper yg mcm Nigella!!!!!!!

14 June 2010

Creampuff

Saja-saja buat creampuff ni utk adegan kunyah mengunyah sambil mandi-manda di tepian kolam. Lepas bersuka ria bermandi manda, kami bertukar aktiviti pulak iaitu bermain bowling sampai sakit perut, tangan dan kaki! Huhuhu..
Disebabkan kesuntukan masa, saya memang tak sempat buat inti kastad. Jadi saya terpaksa gunakan apa yang ada. Mahu atau tidak, sekaya jugak la yang jadi pilihan. Sekaya lagikkk! Haiyaa..nasib baik ada sekaya..hehehe..

12 June 2010

Kuih Cara Moden

Saya dah pening nak buat apa untuk juadah minum petang. Kalau tak buat nanti, mulut ni rasa macam nak mengunyah aja. Belek punya belek khazanah resepi dalam simpanan saya, tertarik pula nak mencuba resepi Kuih Cara Moden ini yang saya dapat di MyResepi. Mulanya agak seksa juga la nak meletakkan inti sekaya, sebelum darahku naik, sebelum terpelanting acuan dan periuk belanga, lebih baik saya fikirkan nak letak apa. Mahu atau tidak, dah nama pun kuih cara, saya letak gula sahaja lah. Hahahaha.. Ok lah kan, janji ada jugak intinya walaupun gula! Hohoho..silalah menjamu mata yea. Dan saya nak menjamu dgn seteko teh panas!

KUIH CARA MODEN

Bahan-bahan :-
1 cwn tepung gandum
1/2 cwn tepung jagung
4 sdb gula
sedikit garam - saya guna 1sdk
1 sdk yis segera
2 bj telur - saya pukul ringan sedikit
250 ml susu cair - saya guna susu segar
3 sdb mentega, dicairkan

Inti : sekaya atau apa shj kegemaran anda

Cara-cara :-
  1. Satukan bahan kering dan gaul rata.
  2. Masukkan susu dan telur. Gaul sehingga sebati dan rehatkan selama 1 jam.
  3. Kemudian masukkan mentega cair dan gaul semula sehingga rata.
  4. Panaskan acuan kuih cara dan sudukan adunan kemudian isikan dgn inti kemudian sudukan lagi adunan supaya menutupi keseluruhannya.
  5. Tutup acuan dengan tudung periuk supaya kuih cepat masak.
  6. Boleh segera diangkat dan dihidangkan.

11 June 2010

Apam Serabai & Kuah Durian

Mulanya bercadang nak buat roti jala sahaja. Tapi sebab malas sangat nak kirai dengan kurang kakitangan pulak tu, maka saya rajinkan diri untuk buat serabai sahaja. Resepi asal dari Pn. ninoZ. Sesuai dijadikan juadah minum petang. Tetapi kalau di belah utara, serabai cukup laku waktu breakfast!

SERABAI

Bahan-bahan :-
2 cwn tepung beras
1/2 cwn nasi
1/2 cwn santan
1 sdk garam
2 sdk gula
1 sdk yis segera
1 1/2 cwn air

Cara-cara :-
  1. Kisar nasi bersama santan sehingga nasi hancur. Masukkan garam, gula, tepung beras dan air kemudian kisar lagi sehingga sebati.
  2. Masukkan yis segera kemudian gaul dan perapkan beberapa jam.
  3. Panaskan acuan serabai, ambil sehelai daun pandan dan diikat kemudian celup ke dlm minyak masak dan sapu sedikit di permukaan acuan. Biar sehingga acuan panas baru dituang sesenduk adunan kemudian ditutup dgn tudung periuk.
  4. Biarkan sehingga berlubang-lubang dan sehingga masak, bolehlah di angkat dan dihidangkan sama ada dgn kuah durian mahupun kuah manis.

Nota : Air tu tuang sedikit demi sedikit dan tengok kalau likat, tambah lagi air dan kacau sehingga dapat konsistensi adunan yg dimahukan.

10 June 2010

Pulut Durian & Mangga


Geram sebenarnya tak dapat merasa durian Balik Pulau yang sememangnya terkenal di seantero dunia. Wahhhhhh! gitu! Hahaha..
Semalam semasa tengah shopping, ternampak gerai durian. Apa lagi, budak-budak ni pun merengek nak makan. Beli lah 2 bekas dalam RM25. Malam tu terus rendam beras pulut untuk ditanak keesokan hari. Maka harini siap sudah pulut durian. Kebetulan pula mempelam masih elok, potong dan hidang sekali. Nyummmm..nyummmm!

09 June 2010

Soft Butter Bun

Untuk resepi roti kali ini saya gunakan resepi Soft Butter Bun yang disumbangkan oleh Chanel2004 suatu ketika dahulu. Ok lah adunan ni sesuai untuk keluarga yang kecil. Sekali buat dapatlah dalam 9 ketul. Bun ini saya tak masukkan sebarang inti. [Malas sebenarnya..hihihi]

26 May 2010

Nasi Beriani, Dalca, Daging Nana Tanjung dll.

Inilah di antara menu-menu yang bos minta disediakan sekembalinya beliau ke tanahair semalam. Pergi tak sampai seminggu tapi dah mengidam macam-macam. Hehehe.

NASI BERIANI
DAGING NANA TANJUNG CHEF KAMARUL
DALCA TULANG
PAJERI BOMBAY/NENAS TUMIS AIR
SAMBAL TUMIS SOTONG
Hilang segala penat di dapur kalau apa yang dihidangkan terus masuk ke mulut tak byk cakap! Terima kasih buat Kak Liza sebab saya cuba resepi Pajeri Bombay nya itu. Pertama kali saya masak pajeri bombay sebegitu. Sebelum ni tak biasa sebab lebih kepada acar buah atau jelatah sahaja kalau digandingkan dengan Nasi Beriani.
Untuk Daging Nana Tanjung tu bagi saya ada la macam kat kedai mamak. Cuma kurang pedas sahaja. Lainkali saya akan tambah cili lagi. Lagi satu, yang saya cukup puas hati sangat ialah sotong. Geram teramat sangat sebab tengok perut dia penuh dengan telur. Memang yang kuidamkan. Tak lepas peluang lah semalam. Alhamdulillah semuanya selesai. Harini bolehlah rehat sikit. Hehehe..

24 May 2010

Sambal Telur

Memandangkan suami masih outstation, rasa malas ke dapur masih menebal. Tapi kalau nak masak pun, yang ala kadar sahaja. Hari ini saya cuba satu resepi dari Chef Kamarul. Sambal telur bagi saya menarik sebab bahan-bahan yang digunakan lain dari yang saya biasa masak.
Resepinya dan kaedah memasak masih sama seperti sambal tumis biasa, cuma ditumiskan serai bersama-sama bahan kisar seperti bawang merah, bawang putih dan halia. Kemudian masukkan cili kering kisar, serbuk kari dan sedikit belacan. Apabila pecah minyak dan mendidih, masukkan jus asam jawa dan gula. Didihkan dan masukkan sesudu santan dan garam. Siap!

20 May 2010

Sambal Udang Malbari

Dah lama tak update. Sejak kurang kakitangan ni, saya ke dapur juga tapi jarang la masak yang sempoi-sempoi. Masak yang biasa dan rutin sahaja. Hari ini kebetulan ada stok udang size M. Dari hari mak datang haritu nak masak sambal tumis petai kononnnya, tapi tak jadi sebab mak dah bawa balik petai ke Penang sebab geram tengok petai yg besor-besor katanya..hehehe. Tak apa lah, kat sini petai melambak-lambak. Jadi harinie saya berkesempatan masak Sambal Udang Malbari. Minta halal ya tuan punya asal resepi ini. Saya pun dah confius siapa punya resepi. Bagi saya resepi ini sangatlah sedap! Rasa semua rempah ratusnya. Memang tak rugi dan berbaloi-baloi kata adik saya yang terlebih dahulu mencubanya.

Related Posts with Thumbnails

YOURS SINCERELY