Followers

05 October 2009

Kedukaan di waktu merayakan Kemenangan!

Salam,
Harini tak ada entri memasak pun. Saya sekadar mahu berkongsi cerita duka yang saya alami sekarang. Semalam hari Ahad saya bangun awal-awal pagi untuk sediakan juadah untuk tetamu yang akan bertandang ke rumah. Tidak ada rumah terbuka pun, sekadar memasak dan jamu kenalan suami sahaja.
Ketika di dapur, saya sempat membancuh adunan untuk membuat kek manakala daging dah saya cuci bersih, potong dan tinggal untuk diperap. Udang pula semalam lagi sebelum tidur dah saya siang dan perap supaya memudahkan kerja saya keesokannya. Tinggal ikan yang perlu dibersihkan untuk dijadikan kari.

Tatkala sibuk di dapur, bunyi telefon berdering banyak kali. Hati saya dah mula berdetik. Saya paling takut akan bunyi telefon jika pada waktu yang tidak sepatutnya seperti tengah malam atau awal-awal pagi. Saya biarkan sahaja bunyi itu berdering walaupun dalam hati seribu satu persoalan yang timbul. Semasa sedang menumis rempah, saya tinggalkan sekejap dan pergi mendapatkan telefon. Panggilan dari abah, mak dan adik! Kenapa??? Kenapa begitu banyak missed call? Saya hubungi abah semula, tiba-tiba abah macam tak dapat meneruskan kata-kata, terdiam. Saya pula mengasak banyak kali bertanyakan kenapa? kenapa? kenapa??? Tiba-tiba abah sebut..'mak-mak'. Mak-mak ialah panggilan mesra untuk tok yang kami dah biasa sebut sejak dari kecil lagi. Lagi mudah ada yang sebut 'mak' sahaja. Begitu juga dengan saya, dah biasa dengan perkataan mak untuk menggantikan kata nama tok.

Perlahan-lahan abah bersuara. Dengar dari butir bicara abah saya jadi terdiam. Setelah abah memberitahu mak-mak sedang nazak, saya pula tiba-tiba bertukar tempat dengan abah, lidah jadi kelu dan langsung tidak mampu berkata apa-apa. Tiba-tiba air mata saya gugur dengan tidak mampu saya tahan lagi.
Tangan dan badan tiba-tiba jadi ketar, mulut jadi terkunci dan tidak tahu kemana arah tuju. Ke dapur kah, ke bilik tidur untuk kejutkan suami kah?

Saya pergi ke dapur, tapi tidak tahu apa yang perlu dibuat. Bahan-bahan sudah saya keluarkan, rempah masih di atas dapur, kek masih belum masak sepenuhnya! Ya Allah, buntu sungguh saya waktu itu. Kemudian saya bergegas naik ke atas kejutkan suami yang masih nyenyak tidur dan beritahu berita yang sedih itu.
Suami pun bingkas bangun lalu mendapatkan telefon bimbitnya dan menghubungi abah. Setelah mendapat kepastian, dia menghubungi rakan-rakannya untuk membatalkan janji temu untuk makan tengah hari di rumah kami.

Tumisan yang masih di dapur, suami suruh saya teruskan memasak sehingga habis. Setelah siap lauk kari ikan, suami suruh agar diberikan kepada rakannya. Setelah siap semua perkara, baju-baju dah dimasukkan ke dalam beg, kami teruskan perjalanan ke Pulau Pinang. Tiba-tiba ketika masih dalam perjalanan, hati saya begitu sayu teringatkan mak-mak. Ketika hari raya baru-baru ini, saya bertandang ke rumah dan beraya dengannya. Dalam keadaan tidak sihat, mak-mak masih tersenyum dan mendakap erat saya dan juga cicitnya Nur Yusra. Saya minta ampun dan maaf dan halalkan makan minum saya selama ini. Kemudian dengan lembut mak-mak berbicara, "Ila takdak dosa apa pun dengan mak, mak dah ampunkan semua" Dengan tidak saya sedari, air mata mula bergenangan.

Lebih kurang pukul 4 petang, saya selamat sampai ke rumah mak-mak. Rumah dipenuhi oleh sanak saudara yang datang dari jauh dan dekat. Surah Yasin kedengaran di setiap penjuru rumah sedangkan tubuh mak-mak di atas katil kecil masih kaku dan tidak bergerak. Matanya tertutup rapat. Saya segera mendapatkan mak-mak dan bersimpuh di tepi sambil mengusap tangan mak-mak. Saya tidak henti-henti memanjatkan doa kepada Allah agar apa yang sedang mak-mak alami sekarang ini, dipermudahkan segala-galanya dan panjangkanlah usia mak-mak kerana sejak dari subuh lagi keadaan mak-mak begitu dan sekarang sudah hampir ke Asar dan akan menjengah ke waktu senja. Ya Allah, dugaan apakah ini yang engkau sedang berikan?
Sanak saudara pula tidak putus-putus datang dan mendoakan agar mak-mak kembali pulih seperti sedia kala. Yang paling meruntun hati saya ialah apabila pakcik saya tanpa segan menangis sambil memegang seraut wajah ibunya itu dan berkata bahawa kami semua ada di sini, ada sisinya, kami datang untuk melihat agar beliau kembali sihat sedia kala, tolong jangan tinggalkan kami, kami masih sayangkan mak, masih perlukan mak!! Sesiapa yang berada di situ tidak mampu menahan air mata. Saya dan yang lain-lain sudah teresak-esak menangis kerana kami sudah tidak mampu untuk menanggung lagi seolah-olah penderitaan yang kami alami cukup berat.
Manakala pakcik saya yang ketiga pula tidak henti-henti menadah tangan memohon agar Allah memudahkan segala-galanya, melancarkan lidah ibunya untuk mengucap. Sementelah kami sudah habis ikhtiar, tidak lagi mampu berbuat apa-apa, sekadar menangis dan bersedih, tiba-tiba tangan mak-mak bergerak. Tubuh yang tadi kaku mula menunjukkan tindak balas. Sanak saudara yang berada di dapur, sedang solat dan berbual di luar rumah berlari mendapatkan mak-mak. Masing-masing seakan-akan tidak percaya dan ada yang menangis kegembiraan dan tanda syukur dari Allah.

Mak-mak mula membuka matanya perlahan-lahan. Hati yang sayu kembali berbunga. Sebagai hambanya, walau apa pun terjadi saya tetap akan redha. Tetapi ini, membuatkan saya rasa bersyukur yang amat sangat. Allah maha besar lagi maha mengasihani hambanya. Pertama, mak-mak 'kembali' kepada kami, kedua mak-mak masih boleh mengecam kesemua anak cucu dan cicitnya dan ketiga mak-mak boleh senyum! Syukur alhamdulillah.
Apa pun yang terjadi, hanya Allah sahaja yang mengetahui.

Oleh itu, saya dengan rasa rendah diri memohon agar rakan-rakan yang rajin mengunjungi laman blog saya supaya sama-sama mendoakan agar tok saya sihat dan dipanjangkan umur. Bukan menghalang qada dan qadar tetapi atas doa dan harapan, moga-moga Allah mendengar doa hambanya. Amin.

1 comment:

  1. harap2 tok kacip semakin sihat. sabar dan berdoalah ya. doa mck buat tok.

    ReplyDelete

Related Posts with Thumbnails

YOURS SINCERELY