Followers

09 April 2012

AYAM MASAK HALIA & DAUN BAWANG

Salam semua,
Hari ini saya cuba satu resepi yang dikongsi oleh kakak sepupu saya yang resepi asalnya di ambil daripada sebuah rancangan 5 Rencah 5 Rasa. Resepi ini seakan-akan resepi Kung Pao Chicken. Bezanya cuma dalam resepi ni tak masuk kacang gajus je. Memang sedap jugak resepi ni.


AYAM MASAK HALIA & DAUN BAWANG
Sumber : Swahily Noordin
Sumber : 5 Rencah 5 Rasa

Bahan-bahan :-
1/2 ekor ayam, dipotong kecil
1 biji bawang besar, dipotong wedges
4 ulas bawang putih, dicincang
1.5" halia, dimayang nipis
6 tangkai cili kering, dikerat beberapa bahagian
1 tangkai daun bawang, dipotong selebar 5cm
1 biji cili benggala, didadukan
2 1/2 sdm sos tiram
2 sdm kicap pekat
1/2 sdm stok ayam
60 ml air
garam
gula
serbuk lada sulah
minyak masak

Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak dan tumiskan halia sehingga naik bau.
  2. Masukkan bawang besar, bawang putih dan cili kering. Kacau seketika sehingga bawang layu dan masukkan ayam. Biarkan seketika sehingga ayam bertukar warna keperang-perangan.
  3. Masukkan sos tiram, kicap, stok ayam, lada sulah dan gula. Kacau rata.
  4. Masukkan cili benggala dan biarkan seketika. Tuangkan air dan tutup kuali selama 2 minit.
  5. Akhir sekali, masukkan daun bawang dan kacau seketika sebelum di angkat.
  6. Hiaskan dengan hirisan daun bawang. Sedia untuk dihidangkan.
Nota :-
Saya tak masukkan air langsung begitu juga dgn garam kerana masin dari sos tiram dan kicap sudah memadai. Kakak sepupu saya goreng ayam terlebih dahulu tetapi saya masukkan sekali seperti tertulis dalam resepi. Anda juga boleh goreng ayam terlebih dahulu (salut dgn tepung jagung dan sedikit garam atau garam dan serbuk kunyit) terpulang kepada citarasa masing-masing. Cili benggala pun saya tak guna yg merah, yang hijau je saya ikut apa yang ada di rumah. Untuk stok ayam tu, saya takde yang jenis serbuk jadi saya gunakan 1/2 kiub pati ayam. Ok. Selamat mencuba!

06 April 2012

KEK PISANG KUKUS

Salam,
Kek pisang ini sebenarnya dah dibuat beberapa hari yang lalu. Sekarang baru teringat nak update. Sebenarnya pisang berangan yang saya beli tu tinggal 4 biji je lagi. Bila dah mula naik hitam legam kat kulit tu, semua pakat reject awal-awal. Kesian nasib pisang tu. Itu yang saya fikir lebih baik buat sesuatu daripada sedekah kat cik tong! Mulanya naik pening jugak la nak buat apa dengan pisang yang 4 biji tu. Nak dibuat cekodok, alahai sikit sangat nanti. Kalau nak buat muffin pula, nanti berpuluh-puluh biji pula jadiknya. Senang cerita buat kek pisang je. Resepi ni pun saya google dari internet dan olah sedikit ikut kesesuaiannya.


KEK PISANG KUKUS

Bahan-bahan :

A/Diayak
2 cwn tepung gandum
1 sdb susu tepung
1 sdk soda bikarbonat
1 sdk baking powder

1 1/2 cwn gula kastor (boleh kurangkan)
4 bj telur A
1 cwn pisang yang telah dilenyek + garam sedikit
1 sdk ovallette
esen pisang
1/2 cwn minyak masak

Cara-cara :
  1. Panaskan kukusan terlebih dahulu.
  2. Di dalam sebuah bekas, satukan telur, gula, esen pisang dan ovallette. Pukul adunan ini dgn kelajuan yang maksima dan sehingga kembang.
  3. Tuang bahan ayak perlahan-lahan dan sebatikan adunan.
  4. Masukkan pisang dan minyak masak, gaul adunan ini sehingga sebati.
  5. Griskan loyang 9" dan tuangkan adunan. Kukus sehingga masak.
Nota : Resepi ini saya bakar sebenarnya. Jika inginkan kelainan, boleh campurkan coklat urai, parutan coklat masak atau pun sebarang kekacang yang anda gemari ke dalam adunan. Selamat mencuba!

NASI TOMATO SURI

Salam Jumaat semua,
Hari ni terasa nak makan nasi tomato la pulak. Dah lama tak buat ni. Sesekali tukar selera apa salahnya, kebetulan bahan pun dah sedia ada di rumah, terus on kan projek je. Tapi lauk sampingan untuk nasi tomato ni tak banyak mana pun sekadar ayam masak merah dan acar mentah. Untuk acar timun tu, kalaulah ada plain yogurt, memang saya akan buat raita. Makan pula waktu sejuk-sejuk..hmmm mmg bertambah-tambah la kot tapi masalahnya tak ada..huhuhu..berangan je lah!



NASI TOMATO SURI

Bahan-bahan :-
4 cwn beras basmathi, dibasuh bersih dan ditoskan
4 cwn air
2 1/2 cwn tomato sup KIMBALL
2 sdb tomato puri
1/2 tin susu cair
1 bj buah tomato masak ranum, didadukan
3-4 tangkai daun pudina, cincang kasar
1 tin kacang peas saiz kecil (230gm), toskan airnya

Bahan Tumis/
2 ikat daun pandan, disimpul
1 btg kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 tangkai bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1/2 sdt jintan putih
1/2 sdt lada hitam
1/2 bj bawang besar, dihiris

Bahan kisar/
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
halia sebesar ibu jari

Hiasan/
beberapa tangkai daun pudina, ambil daunnya shj
segenggam bawang goreng
kismis, digoreng terlebih dahulu
kacang gajus, digoreng terlebih dahulu

Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak dan 2 sdb minyak sapi ke dalam periuk. Masukkan bahan tumis. Kacau seketika biar bawang kekuningan. Tuang bahan kisar dan kacau lagi sehingga terbit minyak dan naik bau.
  2. Masukkan tomato sup, tomato puri dan buah tomato. Kacau seketika dan tuang air dan masukkan juga daun pudina. Kacau seketika dan tudungkan periuk biar sehingga mendidih. Tuang susu dan perasakan dengan garam dan gula.
  3. Masukkan beras dan kacau sehingga sebati, masukkan kacang peas. Kecilkan api dan tudungkan periuk seketika sebelum dipindahkan ke periuk elektrik. Biar masak sepenuhnya. Jangan cepat-cepat gembur nasi, biarkan seketika terlebih dahulu.
  4. Buka penutup periuk dan tabur bahan hiasan. Tutup semula tudung periuk dan biarkan seketika barulah digembur itupun dengan garfu atau alat untuk menggembur nasi (sudip kayu yg berbentuk seperti garfu).
Nota : Cawan yg saya gunakan ialah cawan putih atau pot yang kita dapat semasa membeli periuk nasi tu. 

19 March 2012

PUDING KASTAD JAGUNG BERKRIM

Salam, entri kali ini pencuci mulut je. Malas nak update banyak-banyak. Yang paling cepat update dah tentu-tentu kat Facebook! Haha..Jom kita lihat resepi di bawah.



PUDING KASTAD JAGUNG BERKRIM
Sumber : Resepi Noraini

Bahan-Bahan :-
1 tin jagung krim
3/4 cwn tepung kastad
3/4 cwn gula
3 cwn santan
1 sdt esen vanila
sedikit garam

Cara-cara :-
  • Masukkan kesemua bahan-bahan di atas ke dalam periuk dan kacau dengan menggunakan whisker. Pada peringkat permulaan, api hendaklah dikuatkan atau dlm keadaan biasa dan apabila adunan kelihatan mula pekat, mula perlahankan api dan teruskan mengacau.
  • Adunan mesti dikacau sehingga kental, likat dan kelihatan agak berkilat.
  • Tutup api dan boleh dituang ke dalam acuan/loyang bersaiz 9". Sejukkan terlebih dahulu sebelum di potong.
Nota :-
Jika tidak gemar dengan tekstur kasar jagung, boleh juga dikisar terlebih dahulu jagung tersebut sebelum di masak.

23 February 2012

BROWNIES

Masih menggunakan resepi daripada Diana. Suka sangat dengan tekstur brownies ni. Insya allah jika ada resepi brownies yang sedap-sedap, saya akan cuba dan terus cuba dan akan saya kongsikan di sini.

 

BROWNIES
Sumber : Diana

Bahan-bahan :
125 gm mentega
200 gm coklat masakan
3 bj telur
1 3/4 cwn gula kastor
1 sdk esen vanila
1 1/2 cwn tepung gandum * diayak
1/3 cwn serbuk koko *
2 cwn kekacang, dicincang

Cara-cara :
  1. Panaskan oven terlebih dahulu. Griskan loyang 8X11". Lapik loyang dengan baking paper dan biar ada lebihan kertas sedikit supaya senang untuk dikeluarkan nanti.
  2. Cairkan mentega dan coklat dengan menggunakan kaedah double boil atau lebih senang menggunakan mikrowave sahaja. Masukkan gula kastor dan adun sebati.
  3. Masukkan telur satu persatu dan adun sehingga semuanya sebati. Tuang esen vanila dan kacau.
  4. Tuang tepung dan gaul sebati. Tambah kekacang. Adun lagi.
  5. Tuang adunan ini ke dalam bekas dan bakar sehingga masak.
Sejukkan terlebih dahulu sebelum dipotong. Jangan terlalu sejuk jika tidak brownies akan mengeras dan susah untuk dipotong. Agak-agak suam dah boleh dipotong dan ada juga straight away keluar dari oven dah terus dipotong. Ikut suka masing-masing. Yang nak makan pun kita jugak kan. Potong lagu mana pun ada orang kisah ke? Hehehe

16 February 2012

MAKARONI GORENG

Agak lama Yusra request makaroni goreng tapi baru sekarang mama rajin nak buat. Haha..
Ini entri yang lepas sebenarnya. Ila masak Makaroni Goreng ni atas permintaan Yusra. Dengar je makaroni goreng, yang Abah pun sama naik jugak! Yusra nak bawak ke sekolah katanya. Melambak-lambak sampai penuh bekas dia kaut. Kuat makan betul. Ingatkan bila balik sekolah, bekas pun kosong lah rupanya ada jugak bendasing yang di tolak tepinya. Apa lagi kalau tak cendawan dan capsicum! Susah betul la nak ajar anak dara sorang ni makan sayur.
Makaroni Goreng ni simple jugak. Iyelah buat awal-awal pagi dalam keadaan kelam kabut memang lah kena habis simple. Kalau nak berlenggang kangkung kat dapur potong bawang pun nak berseni bagai haruslah Yusra tak pergi sekolah! Hehehe

MAKARONI GORENG

Bahan-bahan :-
1/2 peket makaroni, direbus dan ditoskan
1 cwn ayam atau daging cincang (boleh dilebihkan jika suka)
1 bj lada benggala, dipotong dadu
1 bj bawang besar, dipotong dadu
3 ulas bawang putih, dihiris
1/2 cwn sayur campur jika suka
1-2 sdm cili kisar (boleh tambah jika suka pedas)
1 tin cendawan butang, toskan airnya dan dihiris
1/2 sdb serbuk lada hitam
garam secukup rasa

Bahan sos/
3 sdm sos cili
3 sdm sos tomato
1-2 sdm sos tiram
1-2 sdm kicap

Cara-cara :-
  1. Tumiskan bawang besar dan bawang putih hingga layu (layu je bukan garing tau). Masukkan daging cincang dan sedikit air. Biar sehingga daging empuk dan masukkan cili kisar. Tambah air jika pekat. Kacau sehingga cili masak dan pecah minyak.
  2. Tuang sos. Tambah air lagi. Masukkan cendawan butang, capsicum dan sayur campur. Jangan dibiar terlalu lama kerana sayur akan layu (biar crunchy sikit).
  3. Masukkan makaroni dan gaul sebati. Masukkan garam dan serbuk lada hitam. Kacau makaroni seketika biar sebati dan bolehlah dihidangkan.
  4. Tabur hirisan cili merah, bawang goreng, daun sup/bawang jika suka.

15 February 2012

DALCA TULANG

Haa..lauk ni takde adik beradik atau sepupu sepapat yang nak di gengkan. Ila masak lauk ni je semata-mata. Takde nasi beriani ke atau apa-apa lauk yang special. Dah ini yang di request, ini je lah yang dapat. Hehe
Menu sebegini memang tidak asing lagi lah dalam blog Wonders Of Baking N Such. Kadang-kadang naik jemu jugak asyik kari je manjang. As long as masih ada permintaan. Layan gambar dulu lah insya allah ada masa Ila akan update resepi.

SOTONG MASAK ASAM

Assalamualaikum, entri ni sebenarnya dah lama cuma baru ada mood nak kemaskini blog. Lauk masak asam ni biasanya saya akan gunakan ikan seperti ikan kikik. Tapi mana nak cari ikan kikik kat pasar KL. Memang jarang nak jumpa. Jadi pilihan lain saya gunakan sotong. Sotong ni pun sebenarnya hampir pening dibuatnya memikirkan lauk apa yang nak dimasak. Lagi pulak kebetulan masa hari tu tak ada sesiapa kat rumah cuma Ila dan Yusra je. Dia pun takde lah cerewet sangat. Lauk apa yang mama masak dia makan je. Bertuah anak mama! Hehehe

Lauk sotong masak asam ni sangat mudah nak disediakan. Sangatlah sesuai untuk orang yang malas macam Ila ni haa! Mula-mula masukkan air ke dalam periuk dan didihkan. Kemudian, bawang merah 5 ulas, bawang putih 3 ulas dihiris. Ambil lebih kurang 4 btg cili kering, dibasuh bersih dan kerat 3 atau 4 bahagian. Sedikit belacan dan 1 btg serai diketuk. Bahan-bahan ini (bawang merah, bawang putih dan belacan disatukan ke dalam satu bekas dan diramas-ramas sedikit) kemudian bahan seperti serai pula terus di masukkan ke dalam periuk yang mendidih tadi bersama-sama bahan-bahan dalam mangkuk tadi (bawang dsb). Kemudian masukkan lebih kurang 2-3 keping asam keping dan biar mendidih seketika. Perasakan dengan garam. Apabila semua dah cukup mesra, baru masukkan sotong. Biarkan sekejap sahaja kerana sotong sangat tak sesuai di masak terlalu lama. Apabila mendidih sekejap terus matikan api. Siap.

PUDING ROTI KARAMEL

Assalamualaikum,
Dah lama menu pencuci mulut tak masuk senarai. Dah disenaraikan pun cuma tunggu giliran je. Yang ni pun entah bila tahun asyik KIV je. Alang-alang dah ada semangat balik, itu yang menggagahkan diri untuk buat jugak. Puding roti ni Ila buat sebab nak habiskan saki baki roti yang hampir expired. Sebelum ni asyik buat puding karamel biasa tu je cuma kali ni bahan utamanya ialah roti. Memang sedap jugak lah puding ni terasa lemak manisnya. Lebih cantik kalau guna acuan yang kecil comel. Macam Ila, guna acuan besar sikit jadi naik nya tak berapa tinggi. Terketot la pulak. Resepi ni tak pasti asal dari siapa tapi yang pasti resepi ni dah ada berselerak dalam blog rakan-rakan yang lain.


PUDING ROTI KARAMEL

Bahan-bahan :-
3 sdm gula
1 sdm air

3 bj telur saiz A
4 keping roti
1 cwn susu sejat IDEAL
1 cwn air suam
1/2 cwn susu pekat manis
1 sdt esen vanila
secubit garam

Cara-cara :-
  1. Panaskan kukusan terlebih dahulu. Pastikan permukaan tudung dilitupi dengan kain supaya air tidak menitik ke atas permukaan puding nanti.
  2. Masak gula sehingga menjadi karamel kemudian perlahan-lahan tuang air dan kacau sehingga semuanya sebati. Tuang ke dalam loyang dan ketepikan sebentar.
  3. Roti dicarik-carik kecil dan dikisar bersama susu pekat manis, susu sejat dan air suam. Kisar bahan-bahan ini sehingga halus.
  4. Telur dipecahkan ke dalam sebuah bekas dan pukul dengan menggunakan garfu. Tapis telur tadi dan tuang ke dalam adunan roti dan masukkan esen vanila dan garam. Kacau perlahan sehingga rata.
  5. Tuang adunan ini ke dalam loyang yang sedia ada tadi dan kukus dengan api perlahan sehingga masak.
  6. Keluarkan dan sejukkan terlebih dahului sebelum diterbalikkan. Simpan di dalam peti sejuk.

08 February 2012

Chili Crab / Ketam Bercili

Salam, agaknya dah berhabuk rumah saya ni sebab lama sungguh tak mengemas. Entah mengapa semangat nak berblogging tak muncul-muncul. Mungkin sebab setelah ketiadaan camera Canon 500D kesayangan saya jadi semangat pun dah mula luntur. Masak tu masak juga tapi tak serajin dulu. Ambil gambar pun guna kamera handphone je. Oklah, taknak berceloteh panjang, jom jenguk dapur saya pula tumpang mood nak update tu masih ada. Hehe..
Hari ini saya masak Ketam Bercili sebab sekian lama jugak saya tak masak menu macam ni. Rasa macam dah lupa pulak bila kali terakhir saya buat menu sebegini. Kalau tidak, asyik masak lemak tak pun kari saja. Geram juga tengok ketam-ketam ni sebab telur dia bukan main banyak lagi. Sabor je lah. Ketam ni my bos yang belikan. Katanya segar bugar lagi. Hampir 2kg jugak diangkutnya. Itupun saya tak masak semua, hanya separuh sahaja. Lagipun isi rumah tak ramai jadi kalau masak semua nanti membazir pulak.


KETAM BERCILI

Bahan-bahan :-
4 ekor ketam, dibelah dua dan dibersihkan
(ditabur dengan sedikit tepung gandum, garam dan serbuk kunyit. Goreng dan ketepikan)

Bahan kisar/
1 bj bawang besar
5 ulas bawang putih
3 biji cili merah
sedikit halia

Bahan Tumis/
2 helai daun kari
3 btg serai, diketuk
1 bj bawang besar, dihiris
1" halia, dimayang lebar

2-3 sdm cili boh/cili kisar
3-4 sdm sos tomato
2 sdm sos tiram
1 sdm kicap manis
garam
gula

1bj telur, dipukul dgn sedikit air

Cara-cara :-
  1. Cedok minyak lebihan goreng ketam tadi dan biar berbaki sedikit. Panaskan minyak semula dan masukkan bahan tumis. Kacau dan biar garing seketika dan masukkan bahan kisar berserta cili boh atau cili kisar. Kacau sehingga pecah minyak. [Penggunaan cili boh bergantung kepada individu. Jika sukakan pedas, boleh ditambah lagi]
  2. Tuang sos tomato dan sos tiram bersama sedikit air. Biar mendidih seketika. Masukkan garam, gula dan kicap. Masukkan ketam dan tudungkan kuali sebentar. Tambah air jika kuah kering atau pekat. Kacau-kacau seketika dan masukkan telur yang dipukul dan kacau lagi. Kaup balik ketam tadi supaya mesra dengan kuah. Boleh tabur hirisan bawang besar dan cili merah jika suka. Dan boleh juga ditabur hirisan daun bawang sebagai hiasan. Siap dan sedia dihidangkan. 

25 October 2011


Puding Roti Marble ini dah banyak kali saya buat dengan pelbagai patern ikut suka hati jer dan biasanya guna kaedah marble lah sebab senang. Tapi kali ini sebab nak cuba acuan yang terperuk tak diguna dan dah hampir jadi tukun tu jadi tak boleh la jadi bentuk marble sebabnya ada lubang plak kat tengah-tengah acuan tu jadi kena lah jadikan corak tempek-tempek! Tempek pun tempek lah janji puding! Jangan tempek-tempek ke lain pulak jadinya sudahhhh..hehe. Resepi ni asal dari hana. [Terima kasih ye sebab sudi kongsi resepi sedap ni]. Dah ramai kawan-kawan yang mencuba dan memang terbukti sedap. Tak caya cuba ler..

PUDING ROTI MARBLE

Bahan-bahan :-
  • 4 keping roti
  • 2 biji telur
  • 1/2 cawan susu pekat
  • 170 ml susu cair
  • 8 gram serbuk agar-agar
  • 1/2 cawan gula - bleh kurangkn
  • 2 sudu besar butter/marjerin, dicairkan
  • 3 1/2 cawan air
  • 2 sudu besar serbuk koko [boleh ganti dengan choc emulco]

Cara-cara :-
  1. Didihkan 3 cwn air, serbuk agar-agar dan gula ke dalam periuk.
  2. Kisar roti, telur, susu pekat, susu cair dan baki air tadi (1/2 cwn). Kemudian masukkan dalam periuk agar-agar yang sudah mendidih tadi.
  3. Masukkan butter/marjerin dan kacau rata sampai mendidih. Matikan api.
  4. Bahagi kepada 2 bekas. Satu adunan biarkan warna asal dan satu adunan masukkan serbuk koko atau choc emulco. Kacau cepat-cepat.
  5. Tuang ke dalam loyang secara berselang seli. Sesenduk adunan asal kemudian sesenduk lagi adunan coklat. Ulang hingga habis. Ketika melapis atau memarblekan, hendaklah dengan cepat sebab puding/agar-agar  ni mudah sejuk dan membeku.
  6. Dah siap bolehlah di simpan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya sejam. Enak dimakan ketika sejuk.

20 September 2011


Ini antara lauk pauk yang saya masak semalam. Ada juga kari kepala ikan tapi sebab banyak sangat entri kari sebelum ni jadi untuk kali ini saya abaikan aje dulu. Sambal tumis udang petai tu sangat simple resepinya. Bawang merah, bawang putih dikisar kemudian ditumis dengan cili boh sehingga masak atau pecah minyak. Kemudian tuang jus asam jawa. Perasakan dengan garam dan gula. Campak 2 biji bawang besar yang dihiris bulat kemudian diikuti udang dan akhir sekali baru petai. Sangat cepat! Yang lambatnya sebab nk mengopek buah petai dari 6 papan.
Sayur campur pula kebiasaannya saya suka menggunakan cendawan tiram. Tapi kali ni saya teringin nak cuba cendawan shitake. Pada pendapat saya, sedap lagi cendawan shitake ni. Tapi kalau nak campur ke dua-dua jenis cendawan pun tentu bertambah sedap apatah lagi kalau campur segala jenis cendawan..umphhh..mesti lagi sedap!! Maklumlah saya penggemar cendawan. Sayur campur ni pun senang jugak. Ketuk bawang putih dlm 5 ulas kemudian tumis sedikit dgn sebatang cili merah dan bawang merah. Biar agak kekuningan masukkan lobak dan sedikit air. Tuang sos tiram. Bila setengah empuk, masukkan jagung. Sayur-sayuran ni dimasukkan biar mengikut tahap. Yang keras didahulukan, yang lembut dikemudiankan. Hahaha. Tapi saya tak suka sayur lembik! Saya tak tunggu lama kalau nk masak sayur sebab saya suka sayur jenis crunchy. Perasakan dgn garam dan lada hitam kisar. Tutup api dan baru masukkan lada benggala. Itu style saya. Hehehe..

Back To Normal

Salam,
Sejak entri yang yang lepas, saya sedikit busy dengan persiapan menyambut raya. Seminggu berkampung di Kepala Batas rumah keluarga dan selepas itu harus pulang cepat kerana pada hari Isnin 5hb Sept 2011 suami terpaksa ke UKM Specialist Centre untuk menjalani pembedahan tiroid dan saluran pernafasan. Jadi hari raya untuk tahun 2011 sangatlah tidak best! Huhuhu..
Apa pun syukur alhamdulillah ke hadrat Illahi kerana masih panjangkan usia suami kerana pembedahan berjaya walaupun masa yang dijangkakan agak tersasar. Terima kasih kepada Prof. Dr. Rohaizak Muhammad. Selama seminggu jugaklah saya terpaksa jadikan wad hospital sebagai hotel! Maklumlah nak ulang alik dari Subang Jaya ke Cheras sangatlah jauh. Apa pun saya sangat berterima kasih kerana anak-anak suami rajin datang menziarah dan selalu bertanya tentang makan minum saya. Jika saya perlukan apa-apa, mereka lah yang selalu membantu dan menghulurkan bantuan tak kira lah dari segi wang ringgit mahupun tenaga.
Selepas dah pulih dari operation, suami minta discharge awal. Boring katanya nak tinggal lama-lama di dalam wad. Mahu atau tidak terpaksa lah doktor benarkan. Dengan kantung darah sebelah kiri dan kanan tu jugaklah terpaksa di usung walau di mana jua suami berada. Walau di dalam tandas sekalipun! Sedih jugak tgk keadaan dia yg tak berapa selesa tapi demi memikirkan kesihatannya, redah jugak lah. Sehinggalah tiub dah dibuka, barulah lega dan boleh nampak senyuman terukir di bibirnya. Apa pun masih dalam keadaan pantang dan masih lagi kena pantau takut-takut dijangkiti kuman pula. Ramai juga rakan dan taulan yang datang menziarah. Terima kasih kami sekeluarga ucapkan.
Kalau nak diikutkan, raya tahun ni mmg tak pergi ke mana-mana pun. Rasa sedih juga sebenarnya sebab tak dapat beraya macam orang lain tapi seronok juga sebab saya duduk di rumah memasak dan jemput kaum keluarga datang. Kuih raya pun banyak juga dah habis dan ganti pula dengan kuih raya yang orang bagi. Tahun ni kuih raya agak laku berbanding tahun sudah. Hehehe.
Oklah, tak nak berceloteh panjang lebar. Tunggu je entri yang terbaru sebab dapur dah mula berasap kembali. Hehehehe.

16 August 2011

AGAR-AGAR PANDAN BERSANTAN


Juadah yang saya sempat buat untuk berbuka tadi. Dah lama jugak tak buat agar-agar pandan ni. Makin lama skill makin kureng plak..hahaha. Jika berminat untuk mencuba, resepi seperti di bawah.

AGAR-AGAR PANDAN BERSANTAN

Bahan-bahan :-
20 gm agar-agar strips, direndam seketika
4 1/2 cwn air
1 1/3 cwn gula [boleh kurangkan jika tdk suka manis]
2 cwn jus pandan dari 5 helai daun pandan
1/2 cwn santan pekat
1/2 sdt garam
2 bj telur B
setitik dua pewarna hijau jika suka

Cara-cara :-
  1. Rebus agar-agar bersama air sehingga agar-agar tadi hancur. Masukkan gula dan masak lagi sehingga larut. Tapis ke dalam periuk lain dan didihkan semula.
  2. Dalam bekas atau mangkuk lain, pukul telur dan garam sehingga kembang. Tuang jus pandan dan santan dan pukul lagi.
  3. Setelah agar-agar mendidih, tuang adunan yang dipukul tadi ke dalam periuk agar-agar dan kacau sehingga mendidih. Angkat.
  4. Tuang ke dalam loyang dan sejukkan sebelum dipotong.

13 August 2011

KARI AYAM


KARI AYAM

Bahan-bahan :
1 ekor ayam, dibersihkan dan dipotong kecil
4 sdm rempah kari daging BABA'S
2-3 sdm cili kisar
1/2 santan kotak
3-4 biji ubi kentang, dibelah 4 setiap satu
1 kiub pati ayam MAGGI
1 keping asam keping
garam secukup rasa
air secukupnya
minyak untuk menumis

1 bj bawang besar, dibelah 6
1 bj buah tomato, dibelah 4
1 bj cili hijau, dibelah dua

Dihiris/
7-10 bj bawang merah
5 ulas bawang putih
1.5" halia

Bahan tumis/
1 btg kulit kayu manis
3-4 biji bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2-3 tangkai daun kari, dilurut daunnya
1 ikat daun pandan, disimpul

Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak yang agak banyak di dalam periuk. Selalunya saya akan tuang minyak sehingga menutupi permukaan periuk. Ini bertujuan memudahkan kita untuk menumis rempah nanti.
  2. Di dalam mangkuk, rempah daging dan cili kisar disatukan kemudian bancuh dengan air panas kemudian kacau sehingga bersatu. Air tu lebihkan pun takpa tak jadi masalah.
  3. Setelah minyak panas, masukkan bahan tumis beserta daun kari. Kacau seketika. Kemudian masukkan bahan hiris tadi. Mestilah dikacau selalu sehingga bawang garing. [Garing betul yea mcm nak buat bawang goreng tu].
  4. Tuang bancuhan rempah tadi dan masukkan daun pandan. Tudungkan periuk dan biar sehingga rempah pecah minyak dan masak. Kena selalu kacau rempah dan pastikan rempah betul-betul masak dan pecah minyak. Untuk menumis rempah, ianya akan mengambil masa sedikit.
  5. Setelah rempah masak, masukkan ubi kentang dan air. Biar sehingga kentang setengah empuk dan masukkan ayam dan kiub pati ayam MAGGI. Perasakan dengan garam. Biar mendidih seketika kemudian masukkan asam keping, santan, air dan bawang besar. Didihkan dengan api yg perlahan dan biar ayam masak sepenuhnya.
  6. Setelah ayam masak, tutup api dan masukkan buah tomato dan cili hijau. Siap!
Related Posts with Thumbnails

YOURS SINCERELY