Followers

09 April 2012

AYAM MASAK HALIA & DAUN BAWANG

Salam semua,
Hari ini saya cuba satu resepi yang dikongsi oleh kakak sepupu saya yang resepi asalnya di ambil daripada sebuah rancangan 5 Rencah 5 Rasa. Resepi ini seakan-akan resepi Kung Pao Chicken. Bezanya cuma dalam resepi ni tak masuk kacang gajus je. Memang sedap jugak resepi ni.


AYAM MASAK HALIA & DAUN BAWANG
Sumber : Swahily Noordin
Sumber : 5 Rencah 5 Rasa

Bahan-bahan :-
1/2 ekor ayam, dipotong kecil
1 biji bawang besar, dipotong wedges
4 ulas bawang putih, dicincang
1.5" halia, dimayang nipis
6 tangkai cili kering, dikerat beberapa bahagian
1 tangkai daun bawang, dipotong selebar 5cm
1 biji cili benggala, didadukan
2 1/2 sdm sos tiram
2 sdm kicap pekat
1/2 sdm stok ayam
60 ml air
garam
gula
serbuk lada sulah
minyak masak

Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak dan tumiskan halia sehingga naik bau.
  2. Masukkan bawang besar, bawang putih dan cili kering. Kacau seketika sehingga bawang layu dan masukkan ayam. Biarkan seketika sehingga ayam bertukar warna keperang-perangan.
  3. Masukkan sos tiram, kicap, stok ayam, lada sulah dan gula. Kacau rata.
  4. Masukkan cili benggala dan biarkan seketika. Tuangkan air dan tutup kuali selama 2 minit.
  5. Akhir sekali, masukkan daun bawang dan kacau seketika sebelum di angkat.
  6. Hiaskan dengan hirisan daun bawang. Sedia untuk dihidangkan.
Nota :-
Saya tak masukkan air langsung begitu juga dgn garam kerana masin dari sos tiram dan kicap sudah memadai. Kakak sepupu saya goreng ayam terlebih dahulu tetapi saya masukkan sekali seperti tertulis dalam resepi. Anda juga boleh goreng ayam terlebih dahulu (salut dgn tepung jagung dan sedikit garam atau garam dan serbuk kunyit) terpulang kepada citarasa masing-masing. Cili benggala pun saya tak guna yg merah, yang hijau je saya ikut apa yang ada di rumah. Untuk stok ayam tu, saya takde yang jenis serbuk jadi saya gunakan 1/2 kiub pati ayam. Ok. Selamat mencuba!

06 April 2012

KEK PISANG KUKUS

Salam,
Kek pisang ini sebenarnya dah dibuat beberapa hari yang lalu. Sekarang baru teringat nak update. Sebenarnya pisang berangan yang saya beli tu tinggal 4 biji je lagi. Bila dah mula naik hitam legam kat kulit tu, semua pakat reject awal-awal. Kesian nasib pisang tu. Itu yang saya fikir lebih baik buat sesuatu daripada sedekah kat cik tong! Mulanya naik pening jugak la nak buat apa dengan pisang yang 4 biji tu. Nak dibuat cekodok, alahai sikit sangat nanti. Kalau nak buat muffin pula, nanti berpuluh-puluh biji pula jadiknya. Senang cerita buat kek pisang je. Resepi ni pun saya google dari internet dan olah sedikit ikut kesesuaiannya.


KEK PISANG KUKUS

Bahan-bahan :

A/Diayak
2 cwn tepung gandum
1 sdb susu tepung
1 sdk soda bikarbonat
1 sdk baking powder

1 1/2 cwn gula kastor (boleh kurangkan)
4 bj telur A
1 cwn pisang yang telah dilenyek + garam sedikit
1 sdk ovallette
esen pisang
1/2 cwn minyak masak

Cara-cara :
  1. Panaskan kukusan terlebih dahulu.
  2. Di dalam sebuah bekas, satukan telur, gula, esen pisang dan ovallette. Pukul adunan ini dgn kelajuan yang maksima dan sehingga kembang.
  3. Tuang bahan ayak perlahan-lahan dan sebatikan adunan.
  4. Masukkan pisang dan minyak masak, gaul adunan ini sehingga sebati.
  5. Griskan loyang 9" dan tuangkan adunan. Kukus sehingga masak.
Nota : Resepi ini saya bakar sebenarnya. Jika inginkan kelainan, boleh campurkan coklat urai, parutan coklat masak atau pun sebarang kekacang yang anda gemari ke dalam adunan. Selamat mencuba!

NASI TOMATO SURI

Salam Jumaat semua,
Hari ni terasa nak makan nasi tomato la pulak. Dah lama tak buat ni. Sesekali tukar selera apa salahnya, kebetulan bahan pun dah sedia ada di rumah, terus on kan projek je. Tapi lauk sampingan untuk nasi tomato ni tak banyak mana pun sekadar ayam masak merah dan acar mentah. Untuk acar timun tu, kalaulah ada plain yogurt, memang saya akan buat raita. Makan pula waktu sejuk-sejuk..hmmm mmg bertambah-tambah la kot tapi masalahnya tak ada..huhuhu..berangan je lah!



NASI TOMATO SURI

Bahan-bahan :-
4 cwn beras basmathi, dibasuh bersih dan ditoskan
4 cwn air
2 1/2 cwn tomato sup KIMBALL
2 sdb tomato puri
1/2 tin susu cair
1 bj buah tomato masak ranum, didadukan
3-4 tangkai daun pudina, cincang kasar
1 tin kacang peas saiz kecil (230gm), toskan airnya

Bahan Tumis/
2 ikat daun pandan, disimpul
1 btg kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 tangkai bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1/2 sdt jintan putih
1/2 sdt lada hitam
1/2 bj bawang besar, dihiris

Bahan kisar/
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
halia sebesar ibu jari

Hiasan/
beberapa tangkai daun pudina, ambil daunnya shj
segenggam bawang goreng
kismis, digoreng terlebih dahulu
kacang gajus, digoreng terlebih dahulu

Cara-cara :-
  1. Panaskan minyak dan 2 sdb minyak sapi ke dalam periuk. Masukkan bahan tumis. Kacau seketika biar bawang kekuningan. Tuang bahan kisar dan kacau lagi sehingga terbit minyak dan naik bau.
  2. Masukkan tomato sup, tomato puri dan buah tomato. Kacau seketika dan tuang air dan masukkan juga daun pudina. Kacau seketika dan tudungkan periuk biar sehingga mendidih. Tuang susu dan perasakan dengan garam dan gula.
  3. Masukkan beras dan kacau sehingga sebati, masukkan kacang peas. Kecilkan api dan tudungkan periuk seketika sebelum dipindahkan ke periuk elektrik. Biar masak sepenuhnya. Jangan cepat-cepat gembur nasi, biarkan seketika terlebih dahulu.
  4. Buka penutup periuk dan tabur bahan hiasan. Tutup semula tudung periuk dan biarkan seketika barulah digembur itupun dengan garfu atau alat untuk menggembur nasi (sudip kayu yg berbentuk seperti garfu).
Nota : Cawan yg saya gunakan ialah cawan putih atau pot yang kita dapat semasa membeli periuk nasi tu. 
Related Posts with Thumbnails

YOURS SINCERELY